Falsafah: Sebuah Pengenalan


“Sarip, kau nampak tak botol atas meja ni?” bisiknya ke telingaku sambil melabuhkan punggung ke kerusi kosong di sebelah.

Kelas 4 Shariah Sains Makkah masih lengang. Belum habis waktu rehat lagi. 

Aku angguk mengiyakan.

“Kalau ikut Fizik, imej hanya terbentuk apabila berlaku pantulan cahaya yang masuk dalam anak mata sebelum diterjemah oleh neuron-neuron otak.”

“Betul,” aku mencelah. Posisi badan dibetulkan, memberi tumpuan yang lebih.

“Cuba kau fikir. Menariknya dengan prinsip cahaya ni, bahkan semua prinsip-prinsip yang melibatkan deria ialah, kau tak dapat buktikan apa-apa kewujudan pun di luar sistem saraf yang berserabut dalam tempurung kepala kau tu. Dunia kau hanyalah mainan denyut-denyut elektrik. Alam ini, tak mampu dibuktikan kewujudannya!”

“…”

Adakah ini falsafah? Ya dan tidak. Ya, boleh dikatakan ini adalah sebahagian daripada perbincangan falsafah dalam fasal epistemologi(1) – psuedoepistemologi setepatnya. Tidak, ini bukanlah intipati(2) kepada ilmu falsafah.

Maka apa itu falsafah?

Idea asas dalam lapangan kajian sejarah tamadun dunia hari ini adalah unjuran daripada Teori Evolusi Sosiobudaya(3) yang digagaskan oleh pasangan intelektual, Gerhard dan Jean Lenski. Silibusnya kini, garis masa sejarah dibahagikan kepada lima fasa masyarakat iaitu masyarakat pemburu; masyarakat peladang (hortikultur) dan penternak (pastoral); masyarakat agraria; masyarakat industri; dan masyarakat pascaindustri.

Secara relatifnya, perkembangan teknologi yang perlahan dan terbantut pada fasa awal kehidupan manusia telah membawa kepada bebanan kerja yang berat untuk survival manusia. Natijahnya, setiap individu dalam kelompok masyarakat akan bekerja keras dalam sebuah sistem sosial yang berteraskan ekonomi sara diri. Pada zaman ini, tiada pengkhususan kerja berlaku antara ahli masyarakat mahupun antara dua gender yang berbeza. Lelaki dan perempuan masing-masing setara dalam status social – masing-masing menghormati satu sama lain sebagai penting, tiada perbincangan siapa lebih afdal dan sebagainya.

Perkembangan teknologi akhirnya membawa kepada pengurusan kehidupan yang lebih efektif. Misalnya pada zaman penternakan dan perladangan, manusia sudah pandai mengumpulkan sumber-sumber ekonomi secara setempat dan mengusahakannya dengan baik. Kemudian tumbuh zaman agraria, di mana perkembangan teknologi telah membolehkan operasi pertanian dan perladangan berskala mega diadakan, membawa kepada lebihan (surplus) ekonomi yang melampau. Kemudian manusia mula berdagang.

Era agraria adalah titik permulaan sebuah sistem masyarakat yang benar-benar kompleks. Ketidakseimbangan pengagihan hasil ekonomi telah melahirkan kasta-kasta yang berbeza.

Manusia sudah pandai mengkhususkan diri dalam bidang-bidang tertentu: golongan bangsawan kini tidak perlu lagi bekerja keras dan mula mendalami ilmu-ilmu abstrak seperti seni dan falsafah. Sehingga beberapa lama – hatta sekarang pun – ilmu falsafah itu dikaitkan (secara tidak tepat) dengan kemewahan dan golongan bangsawan.

Maka apakah itu falsafah?

Dalam pengenalan kepada bukunya ‘A History of Western Philosophy’ Bertrand Russell telah mendeskripsikan falsafah sebagai ‘something intermediate between theology and science.’

Russell berhujah, sebagaimana teologi (~agama), falsafah juga terbina atas spekulasi-spekulasi tertentu yang tidak dapat difikirkan dengan akal, dan pada kebanyakan masa manusia menerimanya kerana diberitahu begitu oleh mereka yang dipercayai (autoriti). Bagaimanapun, sebagaimana sains, falsafah memandu manusia untuk berfikir dalam kerangka yang tepat, menilai hujah (taakul) supaya tidak terpedaya dengan autoriti yang belum tentu benar, walaupun hakikatnya dalam beragama kita sememangnya perlu kepada unsur autoriti.(4)

Ringkasnya, bagi beliau, falsafah mengurangkan sifat dogmatik sesebuah agama apabila ia mengajar para penganut untuk berfikir tentang doktrin-doktrin penting dalam keimanan, samada berlaku percanggahan atau tidak, juga mengurangkan kekecewaan mereka yang terlalu bersifat saintifik dalam pembuktian sehingga menolak apa yang tidak mampu mereka fahami dengan rumus-rumus yang ‘kering’.

Nada yang hampir sama turut disuarakan oleh al-Ghazali dan Halevi(5) apabila mereka menolak untuk menjadikan logik sebagai asas kepada agama. Keimanan, bagi mereka, hendaklah terbit daripada satu kebenaran mutlak yang tidak boleh dipersoalkan (apodictic truth) dan logik hanyalah alat untuk menilai agama-agama yang ada: yang mana satu agama yang benar.

Russell kemudian menutup pendahuluannya dengan:

‘But between theology and science there is a No Man’s Land, exposed to attack by both sides; this No Man’s Land is philosophy. Uncertainty, in the presence of vivid hopes and fears, is painful, but must be endured if we wish to live without the support of comforting fairy tales. It is not good either to forget the questions that philosophy asks, or to persuade ourselves that we have found indubitable answers to them. To teach how to live without certainty, and yet without being paralyzed by hesitation, is perhaps the chief thing that philosophy, in our age, can still do for those who study it.’

Walaupun mula-mula diterbitkan sewaktu Tanah Melayu dilanda penjajahan Jepun, tulisannya ini masih disebut-sebut sebagai asas yang baik untuk mula mendalami falsafah – terutamanya daripada aspek sejarah dan perkembangannya.

Maka apa itu falsafah?

Sebenarnya aku, tentunya, bukanlah orang yang paling ahli dan layak untuk mengupas sebuah perbahasan yang berat begini. Aku hanya akan cuba mengetengahkan beberapa perkara dasar yang aku kira penting untuk memahami secara ijmal (ringkas) apa itu falsafah sebelum para pembaca sekalian membuat bacaan kritikal masing-masing. Insha-Allah aku akan muatkannya dalam satu persembahan berkala yang tersusun dan komprehensif, mudah-mudahan.

Masih tertanya-tanya apa itu falsafah? Tahniah dan syabas. Selamat datang ke dunia di mana manusia asyik berfikir hingga ke satu tahap, mereka lupa apa yang sedang mereka fikirkan.

-abumehmed

Nota Hujung:

(1) Epistemologi ialah salah satu cabang disiplin falsafah yang membincangkan kesahihan, kaedah dan sumber sesuatu pengetahuan.
(2) Intipati ialah unsur teras kepada sesuatu perkara yang menjadi kata kunci dalam mendefinisikan perkara tersebut.

(3) Teori Evolusi Sosiobudaya menggariskan bahawa sesebuah ketamadunan itu berubah budayanya apabila berlaku perubahan dalam teknologi. Semakin pesat teknologi sesebuah tamadun, semakin hebat peradabannya.

(4) Hubung kait antara kaedah pembuktian saintifik (akal) dan autoriti yang dogmatic (wahyu) akan dibincangkan secara khusus dalam tulisan akan datang.

(5) Halevi ialah ahli falsafah yang begitu terkesan dengan tulisan-tulisan al-Ghazali. Para sarjana menggelarkannya ‘al-Ghazali Yahudi’



Sumber

قالب وردپرس

5 Sebab Nazi Jerman Gagal Halang Pendaratan Normandy


Kita semua tahu, menjelang Jun 1944, situasi Perang Dunia Kedua (WWII) tidak lagi memihak kepada Nazi Jerman dan mereka dipaksa bertahan diasak dari semua penjuru. Di sebelah timur, Tentera Merah terus mara dengan lancar dengan dendam kesumat kesan dari tindakan Operasi Barbarossa. Di sebelah barat pula, tentera Bersekutu menyerang dari sebelah situ. Ini belum dicampur bandar-bandar dan kilang-kilang mereka dibom bertubi-tubi sepanjang masa oleh pesawat Tentera Udara Diraja Britain (RAF) dan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF). Dan pukulan maut kepada moral di barisan hadapan di sebelah barat ialah pendaratan tentera Bersekutu di Normandy pada 6 Jun 1944. Namun, tahukah anda pihak Bersekutu menimbang kemungkinan Operasi Overlord iaitu nama kod pendaratan tersebut boleh gagal dan apa faktor yang menghalang Nazi Jerman dari mengekang pendaratan mereka?

1. PEMILIHAN TEMPAT PENDARATAN

Pada awal tahun 1944, semua orang tahu serangan pihak Bersekutu akan berlaku di Perancis. Penduduk Britain pasti tahu kerana mereka menyaksikan kehadiran divisyen-divisyen tentera Amerika Syarikat di situ. Adolf Hitler juga sedar akan senario tersebut. Jika tidak, mengapa beliau memutuskan untuk memindahkan divisyen-divisyen elit kereta kebal Panzer dari Barisan Timur ke sebelah barat? Cuma satu persoalan yang memeningkan kepala kepimpinan tertinggi Jerman bukan bila pendaratan tersebut berlaku tetapi di mana ia akan berlaku. Dengan lautan luas kini di bawah kawalan tentera Bersekutu, mereka boleh saja menyerang dari mana-mana lokasi dari Perancis hingga ke Norway.

Berdasarkan maklumat, Semenanjung Normandy merupakan satu kemungkinan namun pilihan utama yang dikatakan lokasi pendaratan ialah Pas de Calais, sebuah bandar kecil Perancis yang mempunyai jarak 32 kilometer di seberang Selat Inggeris dari Dover. Kebanyakan tentera Wehrmacht berpangkalan di situ dan pihak Bersekutu sengaja menampakkan persiapan mereka untuk merahsiakan lokasi sebenar pendaratan, Normandy. Mereka mencipta unit tentera palsu dipimpin Jeneral George S. Patton bagi memberi gambaran serangan akan dilancarkan ke Calais.

Ini mendorong kepimpinan tertinggi Jerman mengekalkan mereka di situ selama berbulan-bulan kerana yakin Normandy hanyalah satu helah untuk memperdayakan mereka. Harga yang perlu dibayar akibat terpedaya dengan helah ini ialah pertahanan Normandy diserang habis-habisan sehinggalah pihak Bersekutu berjaya menembusinya dan meneruskan kemaraan mereka terus ke Jerman.

2. BILANGAN DIVISYEN PANZER TIDAK MENCUKUPI

Antara kemungkinan yang dipertimbangkan pihak Bersekutu ialah kemungkinan divisyen-divisyen kereta kebal Panzer melancarkan serangan balas dan memaksa mereka berundur. Dan ini satu kemungkinan yang tidak dipandang remeh kerana divisyen Panzer yang mengandungi kereta kebal Tiger hasil rekaan Ferdinand Porsche boleh saja menjahanamkan mereka terutama ketika mereka baru saja mendarat. Namun kemungkinan tersebut tidak berlaku apabila serangan dilancarkan pada 6 Jun 1944.
Mengapa senario ini tidak terjadi?

Pertama, Hitler dan jeneral-jeneralnya tidak dapat meneka lokasi sebenar pendaratan. Kedua, komander-komander kumpulan Panzer Barat menggesa kereta-kereta kebal diletakkan berhampiran Paris bagi memudahkan mereka menghapuskan sebarang bentuk penentangan dari pihak Bersekutu. Ini strategi yang digunakan di Rusia di mana unit-unit ini bergerak depan dan belakang di sepanjang kawasan medan perang untuk menghancurkan pergerakan tentera Soviet.

Namun, Field Marshall Erwin Rommel berhujah perlunya akan kehadiran divisyen-divisyen Panzer di Normandy untuk menghancurkan pendaratan dalam tempoh 48 jam. Dan tidak seperti di Rusia, Rommel juga sedar akan kekuatan udara tentera Bersekutu di Afrika dan tidak mahu pisang berbuah dua kali di Normandy. Selepas mendengar semua pandangan mereka, Hitler memutuskan divisyen-divisyen Panzer diletakkan di satu tempat tidak terlalu jauh dari Paris tetapi tidak berguna untuk membantu Rommel.

Figure 1: Rommel mahukan beberapa divisyen Panzer untuk mengekang pendaratan tentera Bersekutu di Normandy tetapi ditolak Hitler.

Pada hari serangan berlaku, Rommel dan unit-unit pimpinannya memberi tentangan sengit kepada tentera-tentera Bersekutu yang mendarat. Namun divisyen-divisyen lain yang mahu membantu terpaksa menunggu keizinan Fuhrer dan apabila mereka mengajukan permintaan tersebut, mereka diberitahu Hitler masih tidur di katil. Hanya Divisyen Ke-21 Panzer saja yang menyerang balas tetapi cukup untuk memaksa mereka berundur pada hari pertama. Sekiranya Divisyen Ke-21 disokong beberapa divisyen lain, mereka boleh saja membedil kedudukan tentera Bersekutu termasuk kapal-kapal laut. Dan ini boleh mencetuskan situasi huru-hara dan menyukarkan mereka untuk mempertahankan kedudukan mereka. Bayangkan sekiranya Rommel mempunyai 10 divisyen Panzer dan mendapat izin Fuhrer untuk menyerang balas di Normandy, pasti panglima besar tentera Bersekutu, Jeneral Dwight D. Eisenhower pasti akan membaca eulogi yang ditulis pada notanya itu.

3. CUACA BURUK

Musuh sebenar yang dibimbangi Eisenhower bukan Hitler tetapi cuaca buruk. Jika mereka melancarkan pendaratan tentera dalam keadaan cuaca ribut dengan ombak boleh saja menenggelamkan kenderaan-kenderaan mereka. Maka atas sebab itu, beliau terpaksa menunda tarikh operasi iaitu 5 Jun kepada 6 Jun berikutan cuaca buruk. Dan ini atas nasihat pakar kaji cuaca yang melihat keadaan kering bersesuaian untuk operasi pendaratan mereka, satu perkara yang tidak disedari tentera Nazi Jerman.

Namun bayangkan sekiranya pendaratan diteruskan juga walaupun dalam keadaan cuaca buruk? Ia boleh memberi kesan besar bukan saja dari segi logistik tetapi juga dari segi moral dan kehilangan nyawa. Contohnya pada 19 Jun, ribut kuat memusnahkan kawasan-kawasan pendaratan dan beberapa pelabuhan buatan Mulberry. Kerosakan ini mengakibatkan penangguhan penghantaran bekalan dan tentera tambahan dalam menghadapi ancaman musuh. Jika ini berlaku pada 6 Jun, ia dilihat memberi kelegaan kepada Rommel dan barisan tentera yang mengawal Tembok Atlantik.

4. KEKUATAN UDARA

Pada awal WWII, ramai berasa gerun dengan kekuatan Luftwaffe iaitu Tentera Udara Nazi Jerman terutama serangan berani mati juruterbang Stuka mereka. Namun menjelang tahun 1944, Luftwaffe tidak lagi mampu membantu Nazi Jerman menghadapi ancaman tentera Bersekutu. Mengapa ia berlaku? Pertama, pesawat mereka sudah tidak mampu bersaing pesawat-pesawat RAF kerana teknologi yang digunakan sudah usang dan ketinggalan. Bukan itu saja, pesawat mereka juga tidak mempunyai bekalan minyak mencukupi untuk menyerang balas terutama apabila cuba menyerang konvoi pengebom tentera Bersekutu. Ini ditambah kehilangan juruterbang yang handal semasa perang meletus.

Secara teori, Rommel boleh saja meminta bantuan tambahan tentera dalam menghadapi ancaman tentera-tentera Eisenhower atas sebab mereka boleh memperkuatkan semula kedudukan mereka dengan pantas. Namun hakikatnya, ini sukar berlaku atas sebab landasan-landasan keretapi musnah sama ada dibom oleh pesawat pengebom RAF dan USAF atau disabotaj pejuang-pejuang partisan Perancis. Jika mereka cuba bergerak pada siang hari, pasti mereka menjadi sasaran mudah pesawat udara. Ini memaksa tempoh masa diperlukan untuk memperkukuhkan kedudukan mereka memakan masa bukan beberapa hari tetapi beberapa minggu.

Namun, apakah senario ini akan berlaku sekiranya Luftwaffe memperkenalkan pesawat jet di medan pertempuran lebih awal? Ini bukan auta tetapi fakta. Jika tidak kerana masalah teknikal dan campur tangan Fuhrer sendiri yang terlalu obses dengan pesawat pengebom berkuasa jet, pasti pesawat jet ME-262 sudah terbang di udara dan melakukan kerosakan besar kepada angkatan udara tentera Bersekutu. Pesawat ini jauh lebih pantas dari pesawat USAF Mustang dan pesawat RAF Spitfire. Angkatan pengebom Jerman mungkin sudah tiada tetapi sekiranya Luftwaffe mempunyai bilangan pesawat ME-262 yang banyak, mereka boleh saja menakutkan tentera udara Bersekutu. Dari situ, ini membantu divisyen-divisyen Panzer menyerang balas kedudukan tentera Bersekutu tanpa perlu risau diserang.

Figure 2: Pesawat berkuasa jet ME-262 Nazi Jerman.

 5. GAS BERACUN

Salah satu misteri WWII yang tidak berkesudahan ialah mengapa kedua-dua Pakatan Axis dan Bersekutu enggan menggunakan senjata kimia dan biologi antara satu sama lain? Dan berdasarkan rekod selepas kejatuhan Nazi Jerman, mereka berkemampuan menghasilkan apa saja termasuk senjata nuklear.

Alasan Hitler ialah mengelak sebarang bentuk tindak balas. Beliau sedar sekiranya senjata-senjata ini digunakan oleh mana-mana pihak, pasti pihak yang terkena akan membalas semula serangan. Berdasarkan rekod, gas sarin milik Jerman dilihat jauh lebih berkesan berbanding senjata kimia yang dimiliki tentera Bersekutu termasuk gas mustard. Namun, ini tidak diketahui sama sekali oleh kepimpinan tertinggi Nazi Jerman.

Salah satu misteri WWII yang tidak berkesudahan ialah mengapa kedua-dua Pakatan Axis dan Bersekutu enggan menggunakan senjata kimia dan biologi antara satu sama lain? Dan berdasarkan rekod selepas kejatuhan Nazi Jerman, mereka berkemampuan menghasilkan apa saja termasuk senjata nuklear.

Alasan Hitler ialah mengelak sebarang bentuk tindak balas. Beliau sedar sekiranya senjata-senjata ini digunakan oleh mana-mana pihak, pasti pihak yang terkena akan membalas semula serangan. Berdasarkan rekod, gas sarin milik Jerman dilihat jauh lebih berkesan berbanding senjata kimia yang dimiliki tentera Bersekutu termasuk gas mustard. Namun, ini tidak diketahui sama sekali oleh kepimpinan tertinggi Nazi Jerman.

Figure 3: Hitler enggan menggunakan senjata kimia dan biologi kerana bimbang akan tindak balas dari pihak Bersekutu seperti semasa perang terdahulu.

Dan sekiranya taktik ini diteruskan, kepimpinan tentera Bersekutu boleh saja menggugurkan bom-bom antraks di Jerman sebagai tindak balas. Tetapi ceritanya di sini ialah apakah ianya berkesan sekiranya digunakan di Normandy. Ia pasti satu senario menakutkan kerana sudahlah mereka kesejukan kerana berendam dalam air laut. Ini belum ditambah dengan mara dalam keadaan ditembak dan dibedil bertubi-tubi. Ini saja sudah dianggap sukar. Nak pakai topeng gas dalam keadaan tersebut merupakan satu mimpi ngeri kepada mereka.

Jika Rommel dapat memaksa mereka berundur sekalipun, apa jaminan kemenangan akan kembali berpihak kepada Hitler dan Nazi Jerman? Walaupun operasi tersebut akan dianggap gagal, pasti pihak Bersekutu akan mencuba lagi dan perang akan terus berlaku. Sekiranya beliau berpandangan senario kemenangan ini akan membawa kepada rundingan damai, ia takkan membantu Jerman dalam pelbagai aspek. Ini kerana Rusia semakin menghampiri kedudukan mereka dan pihak Bersekutu pasti takkan mengulangi kesilapan sama dalam Operasi Overlord sekiranya operasi tersebut gagal.

SUMBER

Peck, Michael. (2014). National Interest. Five Ways D-Day Could Have Been A Disaster. http://nationalinterest.org/feature/five-ways-d-day-could-have-been-disaster-10601

 

 



Sumber

قالب وردپرس

Meledin: Sultan Yang Tidak Sekadar Menewaskan Tentera Salib. Baginda Menenggelamkan Mereka!


Perang Salib Kelima merupakan tindakan susulan kegagalan teruk yang berlaku pada 1204, iaitu ketika Perang Salib Keempat. Kezaliman yang berlaku ketika Konstantinopel dijarah teruk memusnahkan kesatuan dalam kalangan golongan Kristian. Sungguhpun begitu, Paus Innocent III masih lagi nekad untuk merangkul Baitulmuqaddis daripada tangan Islam. Pada 1213, baginda membuat pengisytiharan yang menyeru Dunia Kristian bersatu untuk berjuang. Namun sebelum bermulanya Perang Salib Kelima, berlaku sedikit masalah dalam kalangan golongan Kristian.

Pada ketika ini, Eropah sangat terbelah dengan konflik mazhab serta pendapat. Para raja diisytiharkan kafir oleh barisan paus. Konstantinopel yang merupakan kota paling agung di Eropah ketika Zaman Pertengahan diserang dan dijarah oleh angkatan ketenteraan Katolik. Para rahib dirogol. Pentas keagamaan semasa Konstantinopel jatuh diberikan kepada seorang pelacur. Terdapat banyak lagi penghinaan dibuat kepada penganut-penganut Ortodoks semasa Konstantinopel diserang.

Kali ini, Paus Innocent III tidak mahu perkara yang sama berlaku. Maka baginda mahu mengetuai kempen ketenteraan yang akan menjadi Perang Salib Kelima. Tetapi baginda mangkat sebelum menjayakan kemaraan. Sebelum pemergiannya, sahutan berjuang diterima oleh Maharaja Jerman. Frederick II adalah orang terakhir yang Innocent III mahu melibatkan diri. Inilah individu yang dibenci banyak paus oleh kerana dasar-dasar luar negaranya. Berkali-kali baginda menyerang pengaruh Paus. Selama empat kali baginda diisytiharkan kafir. Dan Paus Gregory IX pula siap menggelarkannya Dajjal.

Maka Maharaja Frederick II dihalang daripada berjuang oleh pengganti Innocent III, iaitu Paus Honorius III. Bersama Raja Hungary dan Putera Austria. Gabungan dua wilayah ini berjaya menyatukan lebih daripada 32,000 bala tentera. Honorius III mampu mendapat lebih ramai lagi, jika barisan ketenteraan Georgia tidak dimusnahkan dalam serangan Mongol yang sangat dahsyat. Tindakan Mongol merampas Honorius III kekuatan seramai 45,000 tentera. Jika bala tentera ini dapat menyertai, tentu sekali peristiwa-peristiwa Perang Salib Kelima akan berubah.

Mungkin ini merupakan ketentuan Tuhan ataupun pembolehubah pasif atas tindakan sendiri. Akan tetapi, tidak sama sekali boleh dinafikan bahawa 32,000 orang adalah satu angkatan yang dahsyat. Inilah angka yang berjaya menundukkan kuasa Islam ketika Perang Salib Pertama. Tetapi bala tentera Salib akan berdepan dengan darah daging Sultan Salah ad-Din, bukannya Kilij Arslan.

Namun nama Salah ad-Din (Saladin) hanya mampu menaikkan semangat semata-mata. Sebaik sahaja baginda mangkat pada Mac 1193, kesultanan yang didirikan baginda terumbang-ambing akibat masalah warisan. Dan disinilah datang adik Saladin iaitu al-Adil Sayf ad-Din (Saphadin), yang sentiasa menjadi penasihat penting semasa kenaikan Dinasti Ayyubi.

Saphadin mendapati dirinya sesuai untuk menjadi orang tengah dalam pertelingkahan anak-anak Saladin. Pewaris utama al-Afdal didapati tidak mampu memerintah. Pada Mei 1194, Damsyik diserang adiknya iaitu al-Aziz. Perdamaian yang diusahakan Saphadin tidak bertahan lama apabila Aziz sekali lagi menyerang Damsyik. Dan Saphadin pun berpihak kepada Aziz pula, sekaligus mengambil Damsyik untuk dirinya. Baginda membenarkan Afdal lari ke kota Salkhad. Tetapi keamanan tidak bertahan lama apabila Aziz terkorban semasa memburu.

Kemangkatan Aziz memulakan peperangan apabila anak-anak Saladin melancarkan serangan terhadap Saphadin. Serangan demi serangan, Saphadin berjaya menewaskan mereka dan melantikkan diri sendiri sebagai Sultan. Kepimpinan baginda sangat baik, mengutamakan perdagangan dan perhubungan bersama negara-negara Salib. Perbendaharaan kewangan sangat diutamakan Sultan Saphadin, selepas sekian lama berperang semasa Perang Salib Ketiga. Pembinaan empayar Saladin juga memakan banyak kos. Maka pemerintahan Saphadin adalah lebih kepada pengekalan, bukannya perkembangan.

Sultan Saphadin memperbaharui sistem kewangan serta percukaian. Berdepan dengan gempa bumi serta kemarau, baginda berjaya mengharungi segala rintangan. Sambil memerintah, baginda juga mengukuhkan silaturahim dalam keluarganya. Salah satu langkah adalah perkahwinan puterinya bersama anak Saladin, Az-Zahir Ghazi, untuk menghentikan segala pertelingkahan antara dua cabang keluarga mereka.

Hubungan baginda dengan Negara-Negara Salib tidak membuahkan hasil yang diingini. Perang Salib tetap berlaku. Dan baginda tidak bersedia untuk berdepan dengan kebesaran skala serangan. Baginda meskipun sudah uzur pada usia 72 tahun bergegas untuk mempertahankan Palestin daripada angkatan tentera Salib. Tetapi serangan kedua di Mesir memberikan baginda kejutan besar yang baginda lantas jatuh sakit dan mangkat.

Dari sinilah datangnya pewaris baginda. Sultan al-Kamil Nasir Ad-Din atau lebih dikenali sebagai Meledin merupakan seorang pemimpin yang cekap. Semasa ayahandanya berkuasa, Meledin telah banyak membanting tulang sebagai wizurai kepada kesultanan Ayyubi. Kemangkatan Saphadin membahagikan wilayah-wilayah Ayyubi kepada tiga. Meledin mendapat Mesir, manakala adik-adiknya Muazzam dan Ashraf menguasai Palestin, Transjordan dan Syria serta Jazira.

Anak-anak Saphadin menunjukkan kesatuan yang tidak langsung didapati dalam kalangan anak-anak Saladin. Muazzam dan Ashraf mengiktiraf penguasaan Meledin dan bersama-sama berdepan dengan musuh dari luar yang telahpun bertapak di bumi Mesir. Sultan Meledin lantas mempertahankan Damietta. Tetapi pada 1219, nasib baginda tidak begitu baik. Komander Imad ad-Din mencetuskan masalah apabila cuba menjatuhkan Sultan Meledin. Maka baginda terpaksa melarikan diri buat sementara waktu. Akibat ini serta kebuluran dan penyakit, penyerang-penyerang Salib merangkul Damietta daripada genggaman umat Islam.

Sultan Meledin sudahpun bersedia untuk melarikan diri ke Yaman, yang dikuasai anaknya al-Masud. Tetapi kedatangan pantas Muazzam dari Syria memusnahkan segala rancangan jahat Imad ad-Din. Sultan Meledin kemudian cuba mencapai perdamaian bersama Tentera Salib. Tetapi kesemuanya ditolak oleh wakil Paus Honorius III iaitu Pelagius Albano. Sultan Meledin bersedia untuk memberikan Baitulmuqaddis pun demi Damietta. Apabila Putera William I mengetahui apa yang dibuat Pelagius, baginda terus membatalkan hasrat perjuangan dan kembali ke Belanda.

Maka Damietta tergelincir kepada pihak Salib, akibat pertelingkahan dalam kalangan umat Islam sendiri. Dan Damietta dalam genggaman Salib pula bergegar susulan berlakunya pertelingkahan pula. Maharaja John I menuntut Damietta untuk dirinya pada 1220. Pelagius tidak menerima tuntutan ini. Dan John I pun mengikuti jejak William I, meninggalkan perjuangan dan pulang ke Acre pada 1221. Tetapi baginda kembali untuk menyertai kemaraan ke Kahera pada Julai tahun yang sama.

Kemaraan ini diperhati dengan teliti. Sultan Meledin menggerakkan serbuan demi serbuan untuk menipiskan bilangan serta semangat mereka. Baginda berjaya membuatkan 2,000 anggota tentera berhenti untuk pulang kembali ke Damietta. Mereka terselamat daripada bala yang menanti ketenteraan Salib. Kemaraan ke Kaherah berakhir dengan padah yang tidak terfikir. Mereka tidak menyedari bahawa mereka sedang mara di dalam terusan yang kering. Sultan Meledin sekadar membuka empangan untuk membanjiri terusan ini dengan air sungai Nil.

Tersekat akibat air, dengan bekalan makanan termusnah, tentera-tentera Salib terpaksa mengundurkan diri untuk memasuki dalam rahang Sultan Meledin pula. Baginda tidak memberikan belas kasihan. Baginda menyerang mereka di satu malam secara habis-habisan. Pelagius yang menolak semua permintaan perdamaian Sultan Meledin akhirnya menyerah kalah.

Dan Damietta dikembalikan kepada Sultan Meledin demi pembebasan tahanan-tahanan perang. Mereka membuat perjanjian perdamaian selama lapan tahun dengan syarat pengembalian secebis daripada Salib Mutlak, iaitu salib asal yang mana Isa ibn Maryam dibunuh menurut kepercayaan Kristian. Perkara ini tidak dipenuhi Meledin kerana, seperti yang boleh difikirkan, baginda tidak pernah memilikinya. Tetapi kegagalan Perang Salib Kelima mencetuskan sentimen anti-Paus secara besar-besaran.

Apa yang boleh dijadikan iktibar adalah bagaimana pertelingkahan dalaman boleh merosakkan segala usaha kearah kejayaan. Yang harus ditekankan adalah bagaimana Kesultanan Rom membelakangkan saudara seagama demi pihak Salib. Untuk menakluki Damietta, pihak Salib membuat persefahaman bersama Sultan Kaukavus I, yang menyerang pihak Ayyubi di Syria.



Sumber

قالب وردپرس

Fakta-Fakta Menarik Mengenai Perang Saudara Amerika


Sebagai seorang pencandu sejarah seperti saya, salah satu helaian sejarah yang paling menarik untuk diterokai bagi saya adalah Perang Saudara Amerika Syarikat itu sendiri, ketika Konfederasi Amerika (Confederate States) melawan  Amerika Syarikat (United States). Kita semua tahu bahawa perang saudara ini dimenangi oleh Amerika Syarikat, mewujudkan negara Amerika Syarikat yang kita kenal hari ini. Kita juga tahu salah satu faktor utama ialah amalan perhambaan yang membuatkan dua buah persekutuan ini saling berbeza pendapat, sekaligus mencetuskan perang.

Saya kira juga sebelum kita belajar tentang fasa perang saudara Amerika, ada 8 fakta menarik yang boleh dijadikan sebagai pencetus kepada minat kita. Sila rujuk senarai dibawah berikut:

Fakta 1: Perang Saudara Amerika melibatkan negeri-negeri utara melawan negeri selatan. Ia terjadi kerana apabila 11 buah negeri selatan di Amerika Syarikat mula mengumumkan keluar daripada kesatuan mereka kerana tidak bersetuju dengan dasar penghapusan amalan perhambaan pada tahun 1860 dan 1861 sekaligus mewujudkan negara mereka sendiri. Jefferson Davis yang merupakan bekas senator Amerika Syarikat ketika itu dan merupakan Setiausaha Peperangan dilantik menjadi Presiden Konfederasi Amerika ketika itu. Perang tercetus selama 4 tahun, dan hanya pada tahun 1865 barulah Amerika Syarikat berjaya mengalahkan Konfederasi Amerika.

Fakta 2: Abraham Lincoln, yang gambarnya menjadi meme untuk quote yang tidak benar diinternet untuk menyindir pada netizen yang sesenang mempercayai setiap infografik yang mereka baca di internet sebenarnya ialah presiden untuk Amerika Syarikat ketika era perang saudara ini.

Fakta 3: Sebelum wujudnya Amerika Syarikat, terdapat pelbagai peradaban yang berbeza yang mengasingkan diri antara satu sama lain, tidak berdiri dibawah satu panji atau negara sehinggalah pada 1789 apabila mereka akhirnya bersatu dan mewujudkan kerajaan umum berdasarkan perjanjian yang dikenali sebagai perlembagaan.

Ketika sebelum mereka disatukan dibawah satu negara dan perlembagaan, peradaban dan negeri berbeza ini sering kali berperang antara satu sama lain selain daripada menjalankan perdagangan antara mereka. Namun, terdapat kepercayaan pada ketika itu bahawa perlembagaan ini tidak bersifat mengikat mereka, sekaligus mereka boleh keluar bila-bila masa sahaja yang mereka mahukan. Inilah yang mencetuskan kepada 11 negeri selatan keluar.

Fakta 4: Anak kepada seorang pembalak di Kentucky ini adalah seorang peguam yang kemudian mula memasuki politik pada 1840 dan 20 tahun kemudian, dia berjaya memenangi pilihan raya sebagai Presiden Amerika Syarikat. Antara perkara pertama yang dilakukan oleh Lincoln ialah memerangi amalan perhambaan.

Jangan percaya!

Tindakannya telah membuatkan 11 Negeri Selatan mengisytiharkan keluar dari Amerika Syarikat dan menubuhkan negara mereka sendiri. Namun, kemerdekaan 11 negeri selatan ini ditolak oleh Lincoln, bahkan dia berikrair untuk mengekalkan Amerika Syarikat sebagai satu negara yang bersatu. Dia akhirnya dibunuh pada 14 April 1865 oleh John Wilkes Booth, yang merupakan pengsimpati kepada perjuangan selatan.

Antara faktor yang membuatkan betapa negeri Selatan tidak berpuas hati dengan dasar penghapusan amalan perhambaan di USA adalah kerana ekonomi di selatan masih lagi berasaskan perladangan di mana para hamba digunakan sebagai pekerja perladangan manakala di Utara pula revolusi industri yang melanda yang sedang melanda Eropah sedang mengambil alih. Akhirnya, 11 negeri yang tidak bersetuju dengan dasar ini seperti South Carolina, Mississippi, Florida, Alabama, Georgia, Louisiana, Texas, Virginia, Arkansas, North Carolina, dan Tennessee mengisytiharkan keluar dari Amerika Syarikat.

Fakta 5: Perang Saudara di Amerika adalah bermula dengan tentera Selatan mula menyerang dan mengebom kubu Fort Sumter yang terletak di South Carolina. Apabila Konederasi keluar daripada persatuan negara yang dibentuk mereka, Konfederasi meminta agar kubu-kubu yang dididuki oleh tentera Amerika Syarikat diserahkan kepada mereka. Namun, Presiden Lincoln ketika itu menolak permintaan tersebut dan berterusan membekalkan kubu-kubu Konfederasi yang dididuki oleh tentera Amerika Syarikat. Ini memaksa South Carolina mengebom kubu tersebut.

Lukisan yang menggambarkan Fort Sumter dibom oleh tentera Konfederasi, sekaligus memulakan Perang Saudara Amerika.

Fakta 6: Dalam perang saudara ini, ternyata bahawa tentera-tentera Utara mempunyai kekuatan ketumbukan tentera serta material perang yang lebih daripada tentera Selatan. Untuk rekod, ketika permulaan perang saudara, betapa terdapat 22 juta nyawa tinggal di Utara manakala 9 juta tinggal di Selatan, itupun 4 juta daripadanya ialah hamba. Ini memberikan kelebihan kepada Amerika Syarikat berbanding Konfederasi. Walaupun sedemikian, Konfederasi gigih bertahan kerana tatktikal defensive dan juga tentera Selatan lebih berkemahiran berbanding Utara.

Gambaran Pertempuran Gettysburg USA.

Fakta 7: Salah sebuah pertempuran yang paling berdarah dalam Perang Amerika dikenali sebagai Pertempuran Gettysburg yang dikatakan merupakan pencetus kepada kemenangan Amerika Syarikat. Kekurangan bekalan makanan yang semakin berkurangan di Selatan membuatkan Konfederasi terpaksa menukar taktik. Jeneral Robert E.Lee akhirnya membuat keputusan untuk menyerang Utara pada musim Panas 1863 yang akhirnya berakhirnya dengan dikalahkan oleh George G. Meade dalam pertempuran yang berlaku selama 3 hari yang mengorbankan lebih 52, 000 orang terkorban, cedera parah dan MIA (Missing In Action).

Fakta 8: Selepas 4 tahun konflik berlaku, akhirnya pasukan terakhir tentera Konfederasi menyerah kalah pada bulan April 1865. Perang telah membuatkan Selatan bankrap. Jalan raya, ladang-ladang dan kilang dalam kemusnahan. Lebih daripada 620, 000 nyawa terkorban dalam Perang Saudara Amerika, menjadikan perang paling berdarah dalam sejarah Amerika berbanding mana-mana perang yang pernah disertai oleh mereka. Betapa untuk membangunkan Selatan kepada keadaan sebelum perang, mengambil masa lebih 20 tahun yang dikenali sebagai Era Rekonstruksi dalam sejarah Amerika.

Sumber:

Civil War Trust. 10 Facts: What Everyone Should Know About the Civil War. (Pautan: https://www.civilwar.org/learn/articles/10-facts-what-everyone-should-know-about-civil-war)

 

 



Sumber

قالب وردپرس

Apa Akan Jadi Kalau KDNK Negara Menjunam Jatuh?


Baru-baru ini Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan peratusan pertumbuhan ekonomi negara iaitu KDNK (GDP) untuk suku yang ketiga tahun 2017 adalah sebanyak 6.2% akan tetapi banyak suara sumbang yang berkata apa yang tercatat tidak mencerminkan realiti ekonomi negara yang sebenarnya.

Pertama kalinya kita perlu tanam dalam pemikiran kita yang perkembangan ekonomi negara ini adalah secara menyeluruh yang mencerminkan jumlah nilai perbelanjaan yang terhasil dari semua barangan dan perkhidmatan dalam tempoh masa yang tertentu dalam sebuah negara.

Pengiraan ini sangat kompleks tetapi secara jika dilihat secara asasnya pengiraan boleh dilakukan melalui dua cara; dan secara logiknya kedua-dua langkah itu seharus mencapai kira-kira jumlah yang sama;

  • dengan menjumlahkan apa yang semua orang perolehi dalam satu tahun melalui pendekatan pendapatan dalam negara
  • atau dengan menjumlahkan apa yang dibelanjakan oleh semua orang melalui kaedah perbelanjaan dalam negara.

Maka dengan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.2%, ini telah menunjukkan yang perbelanjaan/pendapatan dalam negara telah meningkat sebanyak 6.2% untuk suku tahun yang ketiga tahun ini.

Jika pertumbuhan positif ekonomi negara ini dicemuh oleh penghuninya sendiri aku tidak boleh bayangkan jika angka pertumbuhan ekonomi ini menunjukkan yang sebaliknya iaitu MENGUNCUP bermaksud peratusannya adalah negatif, saiz ekonomi mengecil, perbelanjaan dan pendapatan secara menyeluruh dalam negara menurun.

Saya mengambill contoh unjuran ekonomi Malaysia pada tahun 1997/98 yang telah menguncup sebanyak -7.4% (sumber seperti dalam jadual dibawah) dan apakah yang telah dialami oleh penghuni negara Malaysia pada ketika itu dengan angka yang negatif ini? Mari kita nilai dengan rasional;

(Sumber Bank Negara Malaysia Ekonomi 1998)

1. Kerajaan terpaksa membuat pinjaman jangka masa panjang dari Jepun yang bernilai USD2 billion melalui “New Miyazawa Initiative” untuk membantu masalah kekurangan dana yang serius untuk program pemulihan ekonomi pada ketika itu. Ini wawancara bersama News Strait Times pada Ogos 1998;

“Dr Mahathir telah berkata di Kuala Lumpur pada 6 Ogos 1998 bahawa Malaysia sedang berusaha untuk meminjam USD 1 bilion sehingga USD 2 bilion dari Jepun, dengan mengatakan bahawa dia mahukan pinjaman itu dalam mata wang yen berbanding US dollar”

2. Kadar faedah meningkat tinggi mencecah 15-18% dan ia semestinya telah memberi kesan kepada rakyat iaitu peminjam secara amnya dan banyak syarikat pengedar kereta telah gulung tikar dan penjualan kereta pada tahun 1998 telah merosot sebanyak 68.1%!.

Sekarang? Mengikut Malaysia Automotive Association (MAA) statistik penjualan kereta menurun hanya 1.8% manakala kadar pengeluaran telah meningkat sebanyak 4% perbandingan diantara Oktober 2016 dengan Oktober 2017.

“Jumlah jualan pada bulan November 2017 dijangka lebih tinggi daripada Oktober 2017 disebabkan oleh pelancaran model baru dan kempen promosi akhir tahun yang agresif”

Myvi yang baru dilancar pada 16 November juga telah berjaya mengumpul tempahan sebanyak 5 ribu unit!

3. Pada ketika itu juga kerajaan terpaksa campur tangan dengan menubuhkan Danaharta untuk membantu institusi-institusi yang mempunyai masalah kewangan dan Danamodal pula untuk menyelamatkan bank-bank yang diambang muflis. Sekarang institusi perbankan seperti Maybank telah mencatatkan kenaikan keuntungan sebanyak 16.5% dan CIMB pula 43.7% untuk suku kedua tahun ini 2017!

4. Betapa kritikal sektor kewangan dan perbankan pada ketika itu dan bagaimana puluhan ribu rakyat telah hilang pekerjaan akibat dari syarikat yang telah gulung tikar dan penyusunan semula organisasi kesan dari krisis kewangan dan ekonomi negara. Secara tepat 75,716 orang telah diberhentikan kerja seperti dilaporkan pada November 1998 oleh Utusan;

“Lim berkata sejak awal tahun ini, 75,715 pekerja telah diberhentikan kebanyakannya kerana kemerosotan pasaran produk dan penyusunan semula organisasi serta penggulungan syarikat”.

Adakah kita semua ingin Malaysia mengulangi situasi sukar yang sama seperti tahun 1997/98 barulah kita ingin bersyukur atas kenikmatan yang ada di muka bumi Malaysia sekarang?

Betul akan terdapat golongan yang tidak dapat menikmati limpahan pertumbuhan ekonomi negara ini tetapi jangan lah sesekali kita menidakkan pertumbuhan itu yang memberi nikmat kepada sebahagian besar penghuni Malaysia secara menyeluruh.

Persoalannya siapakah yang dapat mengubah supaya kita dapat menikmati peluang limpahan pertumbuhan ekonomi ini? Pergi lihat dalam cermin, ya orang dalam cermin itu yang boleh mengubahnya bukan Datuk Seri Najib Razak atau Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selamat menilai semua.

Sumber arkib kadar faedah 1998;

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0623&sec=Rencana&pg=ot_05.htm

Sumber arkib Danaharta;

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Sumber arkib kehilangan pekerjaan pada 1998;

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm

Sumber arkib jualan kereta 1998;

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=bs_03.htm

Statistik penjualan kereta Oktober 2017

http://www.thestar.com.my/business/business-news/2017/11/16/maa-expects-vehicles-sales-to-pick-up-in-november/#t2xDHjZyVsPDHWsY.99

Keuntungan Maybank dan CIMB Q1 2017

https://www.bharian.com.my/node/285956

https://www.bharian.com.my/node/286399

Fumitaka FURUOKA, May Chiun LO and Iwai KATO, Japan Foreign Aid Policy Towards Malaysia (2007)

News Strait Times, Japan looking into providing soft loans to Malaysia (20 Ogos 1998)



Sumber

قالب وردپرس

Qin: Sejarah Kebangkitan Sebuah Daerah Yang Hina Menjadi Raksasa Penakluk Dataran China


Qinshihuangdi merupakan sosok seorang maharaja China yang paling terkenal di dalam sejarah sebagai salah seorang penguasa yang menyatukan negara-negara kecil menjadi sebuah empayar yang luas setanding empayar Alexander the Great. Selain terkenalnya baginda di dalam lipatan buku sejarah sebagai seorang penguasa kuku besi yang membunuh ramai manusia dalam pengerahan pembinaan Tembok Besar China, baginda juga dikenali melalui makamnya yang didampingi oleh ribuan tugu batu askar Terracota. Sebelum kita memasuki coretan kisah hitam putih catatan hidup Qinshihuangdi, kita akan menelusuri dahulu perjalanan singkat penubuhan awal sebuah daerah yang terpencil di dataran besar China.

• Negeri Qin. Sebuah daerah terpencil, dibangunkan sebuah perkampungan di atas keluasan berekar-ekar padang rumput yang terletak di barat, iaitu di sebuah daerah bernama Qin (sekarang Tianshui di wilayah Gansu).

DAERAH JAJAHAN KE SEBUAH NEGARA.

• Kepulan asap bertebaran di ruang udara istana Haojing, pusat kekuasaan Dinasti Zhou Barat. Bangsa barbar Quanrong menyerang dan menduduki istana Raja You tanpa tentangan dari pihak pasukan Zhou Barat setelah mendapatkan bantuan kewangan, kelengkapan peperangan dari bangsawan Shen dan pemerintah negeri Zheng. Raja You menyalakan signal api kecemasan di salah satu menara istananya, tetapi tidak diendahkan oleh pasukan tenteranya (kerana sebelum serbuan ini terjadi, Raja You selalu memasang signal api palsu sebagai hiburan untuk dirinya sendiri atas permintaan gundik kesayangannya, Baosi).

• Kerana berasa isyarat bantuan kecemasannya tidak diterima oleh pasukan tenteranya, Raja You dan Baosi melarikan diri menggunakan lorong rahsia ke gunung Li namun usaha mereka untuk meneruskan hidup gagal apabila sebahagian tentera Quanrong mengejar lalu membunuh mereka di sana. Bangsawan Shen yang belot kepada Raja You mengemukakan syarat kepada bangsa barbar Quanrong sebelum serbuan itu berlaku iaitu, setelah mereka berjaya menggulingkan Raja You, mereka diwajibkan menarik tentera dari istana Haojing serta-merta.

• Tetapi kerana kejayaan mereka dalam merebut istana ibukota Zhou Barat dengan mudah tanpa tentangan, mereka mengingkari syarat perjanjian yang berlaku di antara sekutu mereka, bangsawan Shen. Bangsa barbar ini mengganas terhadap penduduk kota dengan merampas segala harta-benda istana, memperkosai gundik-gundik Raja You, membunuh penduduk kota dan membakar sebahagian rumah-rumah milik penduduk.

• Kekacauan yang berlaku selama beberapa tempoh yang lama ini di pusat ibukota Zhou Barat membuatkan penguasa (duke) Xiang dari negeri Qin menggerakkan pasukannya menuju ke sana untuk memberhentikan kekejaman bangsa Quanrong. Hubungan diplomatik di antara Dinasti Zhou Barat dan negeri Qin berlaku sebelum pemerintahan Raja You, iaitu Raja Feng menerima anak perempuan penguasa Zhuang dari negeri Qin sebagai salah seorang gundiknya.

Dengan bantuan dari para bangsawan dari Zhou Barat dan dari negeri Qin, maka pasukan bersekutu ini berhasil memukul mundur sepenuhnya bangsa Quanrong keluar dari ibukota Haojing. Anak Raja You iaitu Putera Yijiu ditemui dan diselamatkan oleh penguasa Xiang lalu serta-merta ditabalkan sebagai penerus kekuasaan Dinasti Zhou Barat dengan gelaran Raja Ping of Zhou.

• Ibukota Zhou Barat, Haojing dan istana milik pemerintah hancur sepenuhnya menjadikan pemandangan kota ini seperti kota mati yang pasti mengambil waktu yang lama untuk membangunkannya kembali. Dengan titah Raja Ping, maka pusat pemerintahan Dinasti Zhou Barat dipindahkan ke Luoyi berdekatan dengan sungai Luo. Ibukota baru Dinasti Zhou dinamakan Luoyang secara rasmi dan perubahan peta pemerintahan dinasti ini berubah dari barat ke timur.

Bermulanya zaman pemerintahan Dinasti Zhou Timur.

• Keberanian penguasa Xiang dalam mematahkan serangan bangsa Quanrong dan menyelamatkan nyawa Raja Ping serta dinasti Zhou menyebabkan baginda memutuskan negeri Qin yang sebelum ini hanya menjadi wilayah jajahan Dinasti Zhou, menjadi sebuah daerah feudal setaraf dengan negara-negara lain. Selain itu, Raja Ping juga memberikan sebuah wilayah tanah yang luas di sebelah barat Qishan kepada penguasa Xiang.

• Lahirnya era pemerintahan daerah Qin yang dahulunya adalah sebuah wilayah yang tandus tanpa penghuni, infrastruktur yang lengkap, akses perhubungan perdagangan dan percaturan dunia politik lalu perlahan-lahan berubah menjadi sebuah kuasa besar yang kelak menjadi negara tunggal memerintah tanah besar China!

• Penerus kekuasaan negara Qin diteruskan oleh beberapa orang penguasa seperti penguasa Wen, Xian, Wu, De dan Xian meneruskan usaha Duke Xiang of Qin dalam memperkukuhkan empayar mereka daripada serangan para musuh sehinggalah negara ini memasuki ke zaman pemerintahan penguasa Mu yang mula bijak menyusun strategi dalam pentadbirannya untuk memperluaskan kuasa politik empayar Qin.

MEMBURU PENASIHAT AGUNG NEGARA YU.

655 SM.

• Tahun kelima pemerintahan penguasa Duke Xiang of Qin. Beliau menghantar anaknya, putera Zhi ke negara Jin untuk melamar puteri kepada Duke Xian of Jin. Dalam tahun ini juga, Duke Xian of Jin menakluk negara Yu dan menawan beberapa orang cendekiawan penting negara Yu, salah seorangnya, Bai Lixi. Sebelum ini, Duke Xian memohon dan memaksa Bai Lixi untuk menjadi penasihat negaranya, tetapi segala usahanya gagal kerana Bai Lixi tetap berkeras tidak mahu mengabdikan dirinya kepada negara Jin. Oleh kerana pelbagai desakan tidak diterima oleh Bai Lixi, Duke Xian mengambil kata putus dengan menitahkan Bai Lixi dijadikan pengiring anak perempuannya ke negara Qin. Namun dalam perjalanan ke negara Qin, Bai Lixi melarikan diri menuju ke negara Chu.

• Duke Mu of Qin yang menyedari kehilangan Bai Lixi setelah melihat daftar nama para pengiring menantunya terus menitahkan pasukannya untuk mencari Bai Lixi kerana beliau tahu, Bai Lixi bukannya orang biasa sehinggakan penguasa Xian pernah mendesaknya menjadi penasihat utama untuk negara Jin.

• Bai Lixi yang melarikan diri ke negara Chu berpura-pura menjadi seorang rakyat pelarian dari negara Yu memulakan kerjaya baharunya sebagai seorang pengembala lembu sehinggakan beliau digelar oleh penduduk Chu sebagai ‘Raja Penggembala Lembu’ kerana lembu-lembu gembalanya gemuk dan sihat belaka. Keberhasilan Bai Lixi dalam mengembala lembu-lembunya membuatkan Raja Cheng, pemerintah negara Chu memanggilnya ke istana Nanhai untuk menjadi pengembala khusus kuda milik baginda.

• Penguasa Mu yang mendapat informasi maklumat dari pasukan perisiknya mengenai keberadaan Bai Lixi di negara Chu terus menyusun agenda untuk menarik Bai Lixi keluar dari negara Chu tanpa dicurigai oleh orang ramai, terutama Raja Cheng.

• Penguasa Mu berhasrat ingin menukarkan Bai Lixi dengan pelbagai hadiah sebagai tukaran ke atasnya kepada Raja Cheng, tetapi hasrat penguasa Mu ditolak oleh salah seorang penasihatnya iaitu Gongsun Zhi dengan alasan persembahan hadiah tersebut tidak akan menjadi dan akan menyebabkan Raja Cheng mencurigai helah yang berlaku di dalam pertukaran ini. Gongsun Zhi menasihati penguasa Mu supaya menukarkan Bai Lixi dengan hanya lima lembar kulit kambing biri-biri kepada Raja Cheng. Dengan nilai tukaran yang rendah dan tidak terlalu megah boleh mengurangkan kecurigaan Raja Cheng ke atas hadiah penguasa Mu.

• Pertukaran ini berlangsung tanpa masalah di antara para utusan penguasa Mu dengan Raja Cheng. Dengan membawa surat permohonan kepada Raja Cheng untuk menyerahkan kembali salah seorang pelayannya, Bai Lixi yang melarikan diri dari negara Qin ke negara Chu melalui tukaran lima lembar kulit kambing biri-biri.

Raja Cheng yang tidak mengetahui identiti asal Bai Lixi menerima tukaran ini tanpa sebarang keraguan. Bai Lixi dikurung di dalam sebuah sangkar kayu dalam keadaan tangan dan kakinya dirantai oleh para utusan negara Qin. Bai Lixi yang sudah mengetahui muslihat penguasa Mu hanya berdiam diri sahaja sepanjang perjalanan ke negara Qin.

• Sesampainya Bai Lixi ke negara Qin, penguasa Mu terkejut dengan penampilan usianya yang tua sehingga membuatkan beliau kecewa. Bai Lixi yang berasa direndahkan kemampuannya mengatakan kepada penguasa Mu:

“Tuanku, memang hamba sudah lanjut usia, kalau disuruh berlari mengejar burung sehingga ke langit atau berburu binatang buas, hamba akan menolaknya. Tetapi jika tuanku mengajak hamba berbicara soal seputar masalah negara, hamba sama sekali terus menerimanya”.

Mendengar ucapan Bai Lixi, penguasa Mu menarik kembali kata-kata hinaannya. Beliau bertanya kepada Bai Lixi:

“Bagaimana menjadikan Qin sebagai negara yang kuat?”.

Bai Lixi hanya menjawab dengan ringkas:

“Memanfaatkan segala kemampuan negara Qin dan menunggu saat yang tepat melancarkan serangan ke atas negara yang lain”.

• Salah seorang sahabat Bai Lixi iaitu Jian Shu diundang menjadi menteri dan penasihat negara Qin setelah Bai Lixi mencadangkan nama sahabatnya tersebut kepada penguasa Mu. Apabila Jian Shu tiba di istana, penguasa Mu bertanya soalan yang sama untuk menguji kecekapan pandangan darinya, iaitu:

“Bagaimana cara menguatkan negara Qin?”.

Jian Shu hanya menjawab:

“Negara Qin tidak akan maju dan kuat selagimana penguasanya tidak cekap memimpin dan kurangnya kebijaksanaan. Untuk mewujudkan kedua hal tersebut, peraturan wajiblah tegas, barulah negara lain tidak berani menganggu gugat negara Qin dan bermurah hatilah kepada rakyat jika mahu para rakyat mendukung serta melindungi negara”.

• Penguasa Mu tertarik dengan ucapan dan pandangan Jian Shu lalu serta-merta beliau mengangkatnya sebagai menteri utama berdampingan dengan Bai Lixi. Anak lelaki Jian Shu iaitu Xi Qishu dan Bai Yibing serta anak Bai Lixi iaitu Meng Mingshi dilantik menjadi ketua panglima angkatan tentera negara Qin.

• Setelah perlantikan ini dengan menyeragamkan pentadbiran dalaman, maka penguasa Mu menyusun langkah seterusnya dalam membuka pintu gerbang Qin menyusuri beberapa penaklukan pertama dalam pengembangan negara Qin.

DIHULURKAN PERTOLONGAN, DIBALASNYA PERMUSUHAN.

Negara Jin.

• Kekacauan politik terjadi di istana. Gundik Liji mengambil peluang untuk menyingkirkan segala musuhnya melalui hubungannya dengan Duke Xian of Jin. Gundik Liji menyusun strategi untuk menjatuhkan putera mahkota Jin, Yiwu. Putera Yiwu melarikan diri ke wilayah Liang dan menjadi pelarian di sana selama 14 tahun. Setelah penguasa Xian mangkat dan gundik Liji mengambil peluang untuk mengambil tampuk pemerintahan negara Jin, tetapi hasratnya gagal apabila beliau dibunuh melalui komplot salah seorang menteri negara Jin iaitu Li Ke. Li Ke mengundang kembali putera Yiwu ke istana untuk diangkat menjadi pewaris sah memimpin negara Jin. Bimbang dengan muslihat Li Ke, putera Yiwu memohon bantuan daripada penguasa Mu membantu mengiringi pemergiannya ke negara Jin dengan melalui beberapa perjanjian diantaranya, putera Yiwu berjanji akan memberikan beberapa wilayah negara Jin kepada penguasa Mu. Penguasa Mu mengerahkan sepasukan tentera khusus dipimpin oleh Bai Lixi untuk mengiringi putera Yiwu ke negara Jin. Setelah berjaya menaiki takhta dengan selamatnya, dengan memegang gelaran Duke Hui of Jin.

• Penguasa Hui mengingkari perjanjian yang disepakati antara penguasa Mu. Penguasa Mu tidak mengambil apa-apa tindakan.

Empat tahun kemudian.

• Bencana kelaparan melanda negara Jin. Penguasa Hui meminta bantuan untuk menghantar bekalan makanan ke negaranya. Penguasa Mu yang dikecewakan sebelum ini menyanggupi permintaannya.

Tahun berikutnya, bencana kelaparan melanda pula negara Qin. Penguasa Mu menghantar utusannya menemui penguasa Hui memohon bantuan. Penguasa Hui mengendahkan permohonan penguasa Mu sekaligus mengambil kesempatan ini dengan menghantar pasukam tenteranya menyerang wilayah-wilayah negara Qin.

• Penguasa Mu yang sudah tidak menahan murkanya, menghantar kembali pasukan tenteranya memukul mundur pasukan negara Jin. Pasukan Jin berjaya dikalahkan dalam pertempuran Hanjiao dan penguasa Hui ditangkap hidup-hidup lalu dibawa ke hadapan penguasa Mu.

• Penguasa Mu mahu membunuh penguasa Hui, tetapi isterinya yang juga kakak kepada penguasa Hui memohon belas ihsan daripada suaminya supaya tidak membunuh Hui. Penguasa Mu membatalkan hasratnya lalu membuat perjanjian melalui persekutuan dengan negara Jin. Penguasa Hui dihantar semula pulang ke negara Jin.

Beberapa tahun kemudian.

• Penguasai Hui yang sudah menyesal di atas perbuatannya sebelum ini mengirimkan anaknya, putera Yu ke negara Qin sebagai jaminan kesetiaanya kepada penguasa Mu. Penguasa Mu lalu mengahwinkan anak perempuannya dengan putera Yu.

MENCABUT DURI BERACUN TIMUR DAN BARAT.

Tahun 638 SM.

• Penguasa Hui jatuh sakit dan putera Yu mengambil kesempatan ini untuk melarikan diri dari negara Qin melalui bantuan isterinya.

Putera Yu mengambil alih tampuk pemerintahan Jin dengan gelaran Duke Huai of Jin.

• Penguasa Mu yang berasa maruahnya dihina memaksa puterinya menceraikan suaminya, penguasa Huai dan mengahwinkan pula puterinya itu dengan bapa saudara bekas suaminya, iaitu Chong’er of Jin. Bekas penguasa Jin, Hui berasakan abangnya ini, Chong’er akan menggugat kekuasaanya di Jin, lalu mengambil peluang untuk memanggilnya pulang ke negara Jin untuk dibunuh.

Chong’er bertahan di negara Qin di bawah perlindungan penguasa Mu.

• Penguasa Mu mengatur strategi lain untuk menggulingkan kekuasaan penguasa Huai dengan menghantar sepasukan tentera Qin mengiringi Chong’er ke negara Jin. Penguasa Huai berjaya dibunuh dan Chong’er menaiki takhta sebagai penguasa Jin dengan gelaran Duke Wei of Jin.

• Penguasa Wei menggubal sistem pemerintahannya dengan membahagikan wilayah kekuasaanya yang luas kepada beberapa orang menteri utamanya iaitu:

1. Zhao Zhi.
2. Wei Si.
3. Shi Yang.
4. Zhao Wuxue.
5. Zhi Yao.
6. Han Qi.
7. Luan Shu.
8. Zhong Xingyan.
9. Zhao Yang.

(Sebab pembahagian kuasa inilah punca kepada perpecahan negara besar Jin menjadi negara kecil Zhao, Han dan Wei).

• Penguasa Wei yang berasa terhutang budi dengan bantuan penguasa Mu, mengikat janji setia dengan bersekutu dengan negara Qin melalui beberapa perjanjian.

• Penguasa Wei meninggal dunia dan tempatnya digantikan oleh Duke Xiang of Jin. Penguasa Xiang yang angkuh berani memutuskan hubungan persekutuan dengan negara Qin. Penguasa Xiang membentuk angkatan tentera yang besar mengalahkan pasukan Qin di dalam dua pertempuran iaitu, pertempuran Gunung Yao yang berlaku pada tahun 627 SM dan pertempuran Pengya berlaku pada tahun seterusnya iaitu, 625 SM.

Disebabkan pengkhianatan penguasa Xiang, kemaraan pasukan tentera negara Qin lumpuh seketika untuk menguasai wilayah di timur.

• Penguasa Mu memimpin pasukan tenteranya secara langsung keluar daripada negara Qin untuk menakluk negara Jin. Kapal-kapal perang yang mengangkut tentera Qin dibakar di sungai Kuning setelah mereka mendarat di perbatasan wilayah negara Jin. Penguasa Mu menunjukkan pemandangan ini supaya terwujudnya semangat berjuang tenteranya untuk bermati-matian mempertahankan maruah Qin dan membalas dendam kepada negara Jin.

• Moral pasukan tentera Qin terubat kembali dan hasilnya, beberapa buah kota besar dan wilayah penting negara Jin jatuh ke tangan penguasa Mu. Pasukan tentera Jin tidak berani menghadapi amukan badai pasukan tentera Qin sehingga penaklukan Qin ke atas wilayah Jin menjadi mudah tanpa tentangan.

• Setelah menziarahi bekas medan peperangan pasukan tentera Qin yang gugur di Gunung Yao bertujuan untuk memberikan penghormatan terakhir, penguasa Mu pun memimpin pasukannya beransur pulang ke negara mereka semula untuk menyusun atur strategi semula untuk perluasan kuasa ke barat.

• Di barat negara Qin pada masa ini didiami oleh suku barbar Xirong. Suka ini berpecah-belah mendirikan pelbagai kerajaan masing-masing dan diantara kesemua kerajaan ini hanya ada tiga yang paling terkuat pada masa itu iaitu suku Mianzhu, Yiqu dan Dali. Pekerjaan utama puak barbar pada masa itu hanyalah menjarah wilayah, desa dan kota-kota yang wujud di perbatasan negara Qin. Selain merampas bahan makanan penduduk, mereka juga memperkosa wanita dan menculik kanak-kanak untuk dijadikan hamba.

• Berita tentang kemenangan pasukan negara Qin mengalahkan pasukan negara Jin tersebar meluas di tanah China, sehingga diketahui oleh beberapa pemerintah kerajaan suku barbar Xirong. Raja Mianzhu yang tertarik dengan peribadi kepimpinan penguasa Mu menebus maruah Qin dengan menawan beberapa kota dan wilayah milik negara Jin mendapat perhatiannya sehingga beliau menghantar utusan ke istana penguasa Mu iaitu You Yu. Penguasa Qin yang melihat dengan saksama perilaku utusan Raja Mianzhu, You Yu yang lemah lembut tidak seganas dan sekasar seperti sifat puak barbar yang lain, mengatur muslihatnya untuk mempergunakan You Yu menggulingkan kerajaan Mianzhu.

• Penguasa Mu menghidangkan pelbagai makanan yang enak, menyediakan wanita-wanita yang cantik sebagai pemuas nafsunya sehinggakan You Yu yang khayal dilayan baik oleh penguasa Mu memberikan segala informasi penting tentang keadaan letak geografi di sekitar kerajaan Mianzhu dan kekuatan serta kelemahan pasukan mereka. Selain mempergunakan khidmat You Yu, penguasa Yu ingin menjatuhkan kewibawaan pemerintah mereka secara perlahan-lahan dengan menghantar pelbagai hadiah dan wanita cantik kepada Raja Mianzhu. Akibat dengan belaian manja bersama kesenangan setiap hari yang ditemani dengan tegukan arak dan pelukan para wanita, Raja Mianzhu mula mengabaikan tanggungjawab ke atas kerajaannya. Apabila kerajaan Mianzhu mula jatuh sedikit demi sedikit akibat perilaku sang raja yang mabuk kepayang dengan nikmat hiburan, maka penguasa Mu menghantar You Yu kembali ke kerajaan Mianzhu. Apabila You Yu sampai di sana, beliau terkejut dengan suasana porak peranda negaranya yang diabaikan oleh pentadbiran Raja Mianzhu.

• Nasihat You Yu untuk Raja Mianzhu tidak diendahkan, tambahan pula Raja Mianzhu menempelak You Yu yang sudah lama berada di negara Qin dan menuduh tujuan kedatangan beliau datang ke sini adalah sebagai seorang perisik dari kalangan mereka. You Yu yang sedih dilemparkan dengan tuduhan tersebut pulang dengan amarah ke negara Qin dan akan berjanji akan mengabdikan dirinya pada negara Qin selamanya. Muslihat penguasa Mu yang ingin melihat pertelingkahan di antara penasihat You Yu dan Raja Mianzhu akhirnya membuahkan hasil.

• Setelah menyiapkan strategi serangan berkat kerjasama You Yu untuk menggempur kerajaan Mianzhu, tepat pada tahun ke-37 pemerintahan penguasa Mu, beliau memimpin pasukan Qin menyerbu masuk mengalahkan kerajaan-kerajaan lain dan menggulingkan kerajaan Mianzhu. Raja Mianzhu ditawan dan 20 kota milik puak barbar ini diduduki oleh pasukan negara Qin yang meliputi wilayah di Guanzhong, menuju ke arah selatan sampai ke pergunungan Qinling, ke arah barat sampai ke Didao, ke arah utara sampai Quyanrong dan sayap penaklukan ini berhenti sehingga ke arah timur iaitu ke tepian sungai Kuning.

• Dengan penaklukan sebahagian besar wilayah negara Jin dan kejatuhan kerajaan puak barbar di barat mengalahkan ancaman-ancaman terdekat, maka secara tidak langsung penguasa Mu membuktikan kekuasaannya yang berlangsung selama 39 tahun kekuasaanya berjaya meluaskan jajahan Qin yang daripada hanya sebuah daerah terpencil menjadi sebuah negara yang besar menandingi negara besar dan maju seperti Zhao, Jin, Wei, Chu dan Qi.



Sumber

قالب وردپرس

Komando Termuda Penerima PGB


Tpr. Md. Ali Ahmad hanya berusia 23 tahun ketika itu. Beliau baru saja 2 tahun menyertai Rejimen Gerakhas Malaysia (RGKM) dan ditempatkan di dalam terup nombor 9, Skuadron Z. Semasa Ops Gonzales, berita telah sampai bahawa platun nombor 9 daripada pasukan 3 Renjer telah bertempur dengan pengganas di Hutan Simpan Bukit Kinta berhampiran Sg. Siput. Maka, pada tengahari 18/4/1974, 32x anggota Z skuadron telah digerakkan menggunakan 2x pesawat Nuri diketuai Lt. Zainal Abidin Hussi. Mereka dibantu oleh 1x pasukan kombat dari Pusat Latihan Tentera Darat ( PULADA) dan disertai anjing pengesan bernama Ben yang dikendalikan oleh Sjn. Chandan ak Gaing.

Setiba di LP (landing point) yang telah ditetapkan berdekatan sebuah bukit, mereka dikehendaki terjun secara abseiling pada ketinggian kira-kira 6 meter. Baru saja beberapa anggota turun, mula kedengaran bunyi tembakan. Nampaknya sah musuh memang sedang menantikan kehadiran mereka. Sebaik sampai gilirannya, Md. Ali segera mencari perlindungan sejurus kakinya menjejak tanah. Nampaknya musuh memang bertujuan mengkucar – kacirkan mereka, kerana mereka tidak tahu dari mana datangnya arah tembakan, yang terus senyap sebaik pesawat meninggalkan kawasan tersebut.

Setelah pasti musuh telah tiada, mereka mula bangun untuk bergerak, namun dikejutkan dengan teriakan “Jerangkap samar!!” oleh seorang rakan. Nampaknya anggota tersebut telah terlihat beberapa wayar merintangi laluan mereka, yang selepas diperiksa, rupa-rupanya tidak bersambung dengan mana-mana bahan letupan dan hanya bertujuan untuk menakutkan mereka.

Tidak lama kemudian, berita sampai mengatakan kumpulan yang mereka buru itu telah bertempur pula dengan pasukan ronda daripada pasukan 5 RAMD. Awal pagi keesokannya, mereka bergabung dengan pasukan tersebut untuk meneruskan penjejakan. Selepas makan tengahari, Ben mengetuai kumpulan penjejakan itu. Banyak jerangkap samar yang ditemui di sepanjang jalan. Sesetengahnya tidak dipasang sempurna, menunjukkan musuh mungkin sedang mengejar masa sebaik menyedari mereka sedang berada dalam buruan. Selepas kawasan jerangkap samar itu, mereka menemui lorong yang dipercayai dilalui musuh berkekuatan 25 hingga 30 orang. Lewat petang itu mereka menemui pula lorong yang terpecah 2. Lt. Zainal Abidin telah memecahkan pasukannya kepada 2 kumpulan; satu diketuainya sendiri yang akan mengambil laluan lereng bukit dan satu lagi diketuai Lt. M Anuwa Mohamad Daud yang akan menyusuri permatang. Mereka akan berkumpul semula di atas bukit untuk bermalam.

Md. Ali mengikuti kumpulan Lt. Zainal, yang didahului oleh seorang anggota Orang Asli iaitu Pbt. Mat Amin. Ketika sampai ke satu anak air, tiba-tiba mereka dihujani tembakan musuh daripada atas bukit sebelah kanan. Mat Amin rebah terkena peluru. Dalam kelam kabut mencari pelindungan, Lt. Zainal telah tercedera lututnya setelah terhentak batu. Selepas membantu ketuanya, Md. Ali menyertai rakan-rakannya bersama-sama senjata M16nya. Sejurus kemudian terdengar lolongan Ben yang turut menjadi mangsa, dan akhirnya terkulai di ribaan penjaganya. Md. Ali yang pernah bertempur di Sibu setahun sebelumnya menjadi semakin marah apatah lagi bila menyedari peluru musuh tak mengenal mangsa. Tanpa menghiraukan rakan-rakannya, beliau bergegas mara ke atas bukit.

Ketika berada di atas bukit setelah memanjat sebuah tebing curam, beliau telah terlihat kelibat seorang musuh yang cuba membaling bom tangan ke arahnya. Semburan daripada senjatanya berjaya mengenai kepala musuh itu. Selepas itu, seorang lagi musuh menemui ajal di hujung senjatanya.

Kematian 2 orang rakan mereka menyebabkan ketua pasukan musuh itu mengarahkan mereka berundur, namun salah seorang daripada mereka pula telah terserempak dgn kumpulan Lt. M. Anuwa dan kemudiannya anggota komunis itu mati ditembak Kpl. Zaki Nordin. Dalam kegemparan itu, Tpr. Abu Kasim pula cedera terkena tembakan. Melihat keadaan sudah tidak menyebelahi mereka, musuh melarikan diri ke satu lereng curam dan bertindak nekad terjun ke kawasan gaung. Walaubagaimanapun, seksyen diketuai Sjn. Rahmat Suratman berjaya menembak hingga cedera 2 daripada mereka sebelum mereka menghilangkan diri.

Semasa penggeledahan,antara yang diteemui adalah:

20x beg galas musuh berisi pakaian, ubat dan makanan
1x Thomson Sub-machine Gun .45 model 1928 bersama 3x kelopak dan 65x peluru
1x Sten Gun bersama 2x kelopak
161x peluru 9mm
30x peluru .22
bom tangan
3x mayat musuh

Malam itu mereka terpaksa bermalam dengan mayat musuh sebelum tugas penjejakan disambung selama seminggu lagi, tanpa hasil. Kembalinya mereka ke Kem Tambun disambut oleh Pegawai Memerintah iaitu Lt. Kol. Borhan Ahmad yang menganggap Md. Ali sebagai Hero kerana telah berjaya menewaskan musuh selepas diserang hendap. Namun, pengalaman itu meninggalkan kesan kpada Md Ali yang tidak dapat makan selama seminggu kerana terus-menerus terbayang imej dan bau otak musuh yang berkecai selepas ditembak.

Md. Ali, yang dilahirkan di Kg. Serkam Pantai, Merlimau, Melaka ini telah dianugerahkan pingat PGB oleh DYMMSPBYDA pada 5/6/1974 dan menjadi anggota komando termuda menerima anugerah tersebut. 3 tahun selepas itu, beliau telah bertukar ke Cawangan Penyiasatan Khas Kor Polis Tentera dan menamatkan perkhidmatan dengan pangkat Staf Sarjan pada 1991..=WRA=



Sumber

قالب وردپرس

Sejarah Kelahiran Dan Kesenian Minuman Matcha


Matcha menjadi salah satu minuman yang paling dikenali saat ini di seluruh dunia. Kandungan dan rasanya yang unik membuatkan bahan ini menjadi tarikan pengelola kedai makanan mahupun cafe menjadikan ia sebagai salah satu menu yang terbaru dalam hidangan mereka. Matcha dihidangkan dalam bentuk minuman dingin yang dicampur susu atau air biasa. Bahannya juga dicampurkan dalam masakan seperti dalam pembuatan mochi dan mee Soba. Kandungan nutrisinya dengan kadar kafein dan theanine yang stabil membuatkan pemakan atau peminumnya berasa tenang fikirannya.

Tapi tahukah anda minuman yang dikatakan hipster ini merupakan salah satu minuman yang berasal dari 4,000 tahun yang lalu bermula dari tanah Shogun? Marilah kita semak sejarah secawan minuman yang berkhasiat dan ‘legend’ ini.



SEJARAH SEBUAH KARYA SENI MINUMAN TEH

• Sejarahnya bermula dari tanah Jepun yang di mana dua orang pendeta Buddha membawa pulang biji benih atau baka pokok teh hijau dari tanah selatan China ke Kyoto pada tahun 805 SM.

Dua orang pendeta Buddha yang dimaksudkan ini ialah Saicho (767-822 SM) dan Kukai (774-835 SM) yang mengembara ke tanah China untuk mempelajari agama Buddha di sana. Sepulangnya mereka ke Jepun, mereka memperkenalkan minuman teh hijau pada penguasa Jepun.

Di Jepun pada saat itu, adat minum teh hanya dikhususkan kepada golongan bangsawan dan rakyat belum sempat merasainya.

• Myōan Eisai yang belajar agama Buddha selama 4 tahun di wilayah Anhui, China telah pulang ke negara asalnya, Jepun. Beliau membawa beberapa uncang biji benih/anak pokok teh hijau yang didapatinya dari pergunungan Huanshan, China.

• Sekitar tahun 1191 M, sesampainya di Jepun, beliau menanam biji benih/anak pokok ini di sekitar kuil Daitokuji di wilayah Kyoto.

Legenda mengatakan, Eisai menanam benih ini di sebuah kebun Ishigamibo di Seburiyama, Hizen.

• Selain memperkenalkan fahaman Zen Buddha pada masyarakat Jepun, Eisai juga menemui suatu cara baharu dalam menghirup minuman teh hijau. Beliau membakar daun teh hijau dan mengisarnya menggunakan batu penggiling tradisional.

(Pendapat lain mengatakan, Eisai mengaplikasikan kaedah membuat Matcha daripada pendeta Buddha yang berada di China. Walaupun kaedah membuat Matcha dikatakan berasal daripada China, tetapi Matcha keluaran Jepun merupakan yang terbaik di dunia).

• Hasilnya, daun teh hijau yang telah dihancurkan ini menjadi serbuk dan dengan itu ianya dikenali sebagai Matcha. Dalam bahasa Jepun, Cha bermaksud teh dan Ma bermaksud serbuk.

Selain dalam bahasa Jepun, Matcha juga mendapat nama lain, iaitu:

1. China : Môcha.
2 Korea : Malcha atau Garucha.

• Dengan perkembangan fahaman Zen dan kelahiran kaedah Matcha, maka kedua ini tidak dapat dipisahkan sehingga upacara minum Matcha menjadi salah satu adat wajib bagi penganut fahaman Buddha Zen.

• Upacara minum Matcha bukan sekadar hanya duduk minum sahaja melainkan ianya mempunyai kaitan sejarah penemunya dan Matcha juga melambangkan kecantikan dalam bentuk yang sederhana dan sesuatu yang luar biasa dalam bentuk yang biasa.

• Tujuan utama meminum Matcha dalam upacara ini adalah untuk memfokuskan minda, menstabilkan mental, mengawal kesabaran dan si peminum dapat meletakkan kondisinya dalam keadaan meditasi yang tinggi tanpa gangguan. Selalunya Matcha dihidangkan pada waktu pagi kerana ianya memudahkan para pendeta untuk bermeditasi pada waktu tengahari.

Upacara minum Matcha bukan terhad kepada para pendeta sahaja, bahkan ianya mendapat sambutan di kalangan Shogun. Para samurai akan duduk minum minuman ini sebelum turun berperang kerana khasiatnya yang berkelebihan dalam menenangkan jiwa dan pemikiran serta memberikan tenaga yang secukupnya untuk bertempur dalam jangka waktu yang lama di medan perang.

• Eisai juga menulis sebuah buku bertajuk Kissa Yōjōki (Teh Baik Untuk Kesihatan). Di dalam buku ini Eisai mengesahkan bahawasanya daun teh hijau adalah suatu herba semulajadi yang dapat membuang segala penyakit sehingga Eisai memberikan gelaran pada daun teh hijau sebagai: ‘Elixir of the Immortals’.

PROSES MEMBUAT MATCHA DARI LADANG.

Sebelum digiling menjadi serbuk, matcha melalui beberapa proses dari ladang sehinggalah ke kilang. Dalam bab ini akan menjelaskan secara ringkas bagaimana proses membuat serbuk matcha.

1. Sebelum daun teh hijau dipetik, pokok teh hijau jenis Camelia Sinensis dilindungi daripada sinaran matahari selama 3 minggu.

Proses ini dilakukan untuk menukarkan warna daun teh hijau yang cerah menjadi hijau gelap. Ini disebabkan kandungan chlorophyll yang bertanggungjawab menukarkan warna daun teh hijau, secara tidak langsung juga meningkatkan kandungan amino asid di dalam daun. Kandungan yang disebut Theanine ini sangat diperlukan di dalam pembuatan Matcha kerana bahan ini dapat menenangkan jiwa atau fikiran si peminumnya.

(Pada hari ini, pokok teh hijau dilitupi oleh khemah TANA daripada sinaran matahari).

2. Setelah daun teh hijau bertukar warna, maka ianya akan dipetik langsung dengan tangan. Selalunya pucuk daun yang teratas disenaraikan sebagai gred tinggi dan pucuk daun yang dibawah pokok dikategorikan sebagai gred yang rendah.

3. Daun teh hijau yang dipetik akan melalui beberapa proses dan daun teh hijau juga dibahagikan kepada dua pemprosesan, iaitu Sencha dan Tencha.

a. Daun teh hijau yang tidak akan dikeringkan dan digiling sebaliknya ianya terus diproses menjadi serbuk teh adalah Sencha. Daun jenis Sencha dijadikan Gyokuro (Jade Dew), iaitu salah satu daun teh yang berkualiti tinggi.

b. Daun teh hijau yang melalui proses pengeringan dan penggilingan dikenali sebagai Sencha. Daun Sencha ini akan digiling menggunakan batu penggiling untuk diperhalusi menjadi serbuk yang dikenali sebagai Matcha.

4. Dalam proses penggilingan ini, diperlukan tempoh selama satu jam untuk mendapatkan hanya 30-40 gram Matcha.

Proses penggilingan ini haruslah perlahan. Jika batu penggiling kepanasan maka rasa asli daun teh hijau akan hilang dan secara langsung kualitinya menjadi rendah.

(Walaupun sekarang banyak kilang di Jepun menggunakan mesin penggiling automatik, kaedah penggilingan ini tetap diutamakan).

Seperti yang kita baca di bab sebelumnya, pucuk daun teh hijau teratas mempunyai gred yang lebih tinggi daripada pucuk daun yang dibawah pokok. Jadinya, di sini akan disenaraikan beberapa gred serbuk Matcha.

1. Gred untuk upacara.

Gred untuk tingkatan ini selalunya menggunakan serbuk Matcha yang berkualiti tinggi dan mahal. Pendeta Zen yang menjalankan upacara minum teh selalunya menggunapakai daun jenis gred tinggi untuk membuat serbuk Matcha. Daun teh hijau gred ini akan digiling menggunakan kaedah tradisional. Batu penggiling yang diperbuat dari batu granit selalunya digunakan dalam proses ini.

2. Gred Premium.

Kualiti serbuk Matcha dalam gred ini adalah tinggi dan harganya amat mahal. Selalunya serbuk gred ini memiliki kandungan nutrisi yang tinggi kerana ianya dipetik dari pucuk daun yang teratas. Matcha gred ini sesuai untuk peminat minuman matcha.

(Perbezaan rasa Matcha untuk Upacara dan Premium adalah dari segi kemanisan dan rasa umami-nya).

3. Gred Masakan.

Matcha gred ini selalunya dihasilkan daripada pucuk daun teh hijau yang paling bawah. Serbuk ini sesuai dijadikan sebagai bahan dalam masakan kerana harganya yang murah. Tetapi sayang, serbuk gred ini tidak mempunyai khasiat yang tinggi seperti gred Upacara dan Premium.

ALATAN UNTUK MENYEDIAKAN MINUMAN MATCHA

1. Chawan.

Mangkuk untuk menyediakan minuman matcha. Diperkirakan luasnya cukup untuk mengaduk matcha sekitar 120 ml.

2. Chasen.

Pengaduk buluh yang fungsinya untuk mengaduk serbuk matcha dengan air sehingga menimbulkan buih-buih yang kecil di permukaan minuman matcha.

3. Chasaku.

Fungsinya sebagai sudu untuk mengukur kuantiti serbuk matcha yang ingin dimasukkan ke dalam chawan.

4. Natsume.

Bekas penyimpan serbuk matcha.

5. Chakin.

Sepotong kain kecil yang fungsinya digunakan untuk membersih alatan-alatan di atas sebelum menggunakannya.

Selalunya kain ini dipakai ketika upacara minum teh.

CARA MENYEDIAKAN MINUMAN MATCHA TRADISIONAL.

1. Serbuk matcha diambil dari natsume dengan menggunakan chasaku.

Pada waktu ini, kuantiti serbuk matcha ditentukan sama ada ingin membuat matcha nipis atau tebal.

2. Penapis diletakkan di atas chawan dan serbuk matcha dimasukkan ke dalam penapis. Penapis ini berfungsi untuk menghaluskan lagi halusan serbuk matcha ke dalam chawan.

3. Setelah serbuk matcha dihaluskan menggunakan penapis tadi, maka halusan matcha yang baru akan berada di dalam chawan.

4. Ambil air panas (yang tidak mendidih) lalu dituang ke dalam chawan.

Suhu air panas sekitar 70-85°c bersamaan 158-185°F.

5. Adunan serbuk matcha dan air panas diaduk menggunakan chasen dengan laju mengikut cara kacauan ‘MW’ atau ‘zig-zag’.

6. Setelah dipastikan tiada sisa serbuk matcha yang tertinggal dasar chawan mahupun di sekitar chawan maka disarankan untuk mengaduk adunan matcha ini dengan perlahan.

7. Adukan yang perlahan ini akan menimbulkan buih-buih halus di permukaan air matcha.

8. Minuman matcha siap dihidangkan.

DUA CARA UNTUK MENYEDIAKAN MINUMAN MATCHA.

Sebenarnya ada dua cara untuk menyediakan minuman ini dan diantara kedua ini ada perbezaan yang tidak ketara. Ianya cuma diukur kandungan serbuk dan airnya.

1. Usucha.

Ianya juga dikenali sebagai teh nipis atau ringan. Selalunya hidangan matcha jenis ini disediakan di restoran ataupun cafe. Rasa Usucha lebih lembut, ringan dan pahit. Serbuk matcha sebegini selalunya diambil dari matcha yang berkualiti rendah.

Untuk membuat Usucha diperlukan sebanyak 1.75 gram serbuk matcha (setengah sudu chasaku) dan diaduk dengan sekitar 75 ml air panas untuk setiap hidangan. Usucha diaduk dengan laju menggunakan chasen untuk menghasilkan buih-buih yang kecil di permukaan matcha.

Adukannya haruslah MW atau Zig-zag.

2.Koicha.

Dinamakan juga teh tebal kerana kepekatannya menyamai kelikatan madu lebah. Hidangan jenis ini selalunya disediakan di dalam upacara minum teh di Jepun. Serbuk matcha yang digunakan di dalam proses pembuatan Koicha selalunya diambil dari daun teh hijau yang berkualiti tinggi dan mahal. Daun teh hijau ini dipetik daripada pokok teh yang berusia 30 tahun lebih.

Cara membuat Koicha diperlukan 3.75 gram yang menyamai satu sudu chasaku. Seterusnya matcha ini diadun dengan 40 ml air panas. Diaduk kedua adunan ini dengan perlahan sehingga ianya menjadi sepekat madu lebah. Diaduk memutar melawan arah jam.

Dalam proses membuat Koicha, buih-buih halus tidak akan terhasil. Rasa Koicha lebih pekat dan manis.

UPACARA MINUM TEH.

• Upacara ini mengandungi kesenian mempersembahkan dan penyediaan minuman Matcha.

Seni yang ini dipanggil sebagai Temae.

• Di Jepun, upacara minum teh dikenali sebagai Chanoyu atau Sadō dan Chado.

Upacara minum teh ini dikategorikan kepada dua bahagian iaitu:

1. Chakai.

Chakai adalah upacara minum teh tidak rasmi. Selalunya hidangan matcha atau teh pada waktu ini disediakan kepada tetamu. Matcha jenis Usuchu dihidangkan dengan makanan ringan tradisional Jepun iaitu Wagashi kepada tetamu.

2. Chaji.

Upacara rasmi yang mengikut adat yang telah ditetapkan. Dalam upacara ini, ianya disertai dengan hidangan makan malam Kaiseki dan Wagashi. Minuman matcha jenis Koichi dan Usucha dihidangkan juga. Upacara rasmi sebegini selalunya mengambil masa selama 4 jam untuk diselesaikan.

Sumber Rujukan:

1. The Matcha Miracle: Boost Energy, Focus and Health with Green Tea Powder. Penulis: Anna V. Zulaica, Mariza Snyder dan Lauren Clum.

2. The Book of Matcha: A Superhero Tea †“ What It Is, How to Drink It, Recipes …
Penulis: Louise Cheadle dan Nick Kilby.

3. The Story of Tea oleh Mary Lou Heiss.

4. The The Industry oleh Nick Hall.

– TAMAT –



Sumber

قالب وردپرس

Big Five Malaysian Metalcore


Mereka adalah The Big Five of Metalcore di Malaysia. Sedar atau tidak, band-band metalcore yang rancak merajai pentas underground beberapa tahun lalu telah mengubah sedikit-sebanyak wajah scene metal di Malaysia. Peminat-peminat muzik di luar Malaysia contohnya negara-negara jiran kita mula memberi perhatian terhadap band-band metal ini. Meskipun genre metalcore tidaklah dianggap terlalu metal bagi sesetengah pihak, namun mereka bukan anak-anak kecil yang boleh dipandang enteng.

INCARNATION

Mereka merupakan antara band metalcore terawal di Malaysia. Seawal 2008 lagi mereka telah mengeluarkan album, “Stainless Perfect Murder” sedangkan masa tu belum masuk era ‘core’  di zaman gemilang lagi. Ini menunjukkan diorang dah main muzik ni tanpa terpengaruh dengan trend. Muzik metalcore mereka lebih serius, lebih kepada sound metalcore seperti Killswicth Engage atau melodic metal macam Soilwork. Lebih berjiwa metal dan tidak terikut-ikut dengan generasi metalcore baru yang menguasai scene waktu itu.

Showmanship yang matang dan bertenaga berjaya menarik perhatian crowd. Bukan saja budak-budak yang kaki moshing malah brader-brader metalhead kaki headbang pun suka dengan band ni. Mereka juga pernah menjadi opening bagi band-band international yang bertandang ke Malaysia. Stanless Perfect Murder dan Killer Persistence adalah dua material band ini yang perlu anda genggami. Dahsyat, padu dan garang.

Band dari utara (Kedah) ni kini dibarisi line up Vocal – Anep, Lead Guitar – Areef, Rhythm Guitar – Najmi, Bass – Udey dan Drum – Arab. Mereka sudah beberapa kali tukar line up. Semoga lepas ni mereka akan dapat membawa band ni ke pucak kegemilangan sekali lagi.

CASSANDRA

Cassandra adalah sebuah band metalcore yang sudah lama terbentuk, iaitu sekitar tahun 2002 dan berasal dari Subang Jaya. Line up band ni terdiri daripada ahli-ahli band yang sudah berpecah dan akhirnya membentuk Cassandra.

Nama mereka lebih sinonim dengan scene hardcore meskipun dari segi muzikalnya diorang agak pekat dengan elemen metalcore atau heavy metal secara amnya. Attitude mereka bagaimanapun lebih kepada spirit dan prinsip-prinsip hardcore. Nama Cassandra sendiri diambil dari sebuah mitos dunia Greek yang menggambarkan kelembutan dari zahirnya tapi memiliki spirit yang gelap. Itu yang cuba digambarkan secara fizikal oleh band ini. Namanya saja yang cantik, Cassandra tetapi muziknya padu dengan riff-riff berat gitar yang kompleks.

Set Eyes On Paradise adalah studio album yang memperkenalkan band ni kepada scene underground. Mereka pernah mendapat peluang menjadi opening buat band international, The Ghost Inside. Malah mereka pernah berpeluang beraksi di pentas metal gergasi Hammersonic (yang jugak pernah dikuasai pentas ini oleh Massacre Conspiracy) membuatkan nama mereka bukanlah kecil anak dalam dunia hardcore dan metal.

THE PADANGS

Sebuah band metal sensasi yang amat digilai muda-mudi sampai ke saat ini. Konsep metalcore yang dibawa sangat trendy dengan lagu-lagu yang konsepnya agak catchy dan mudah diminati ramai. Agak colourful dan sesuai menjadi lambangan tentang scene ‘core’ yang pernah menguasai scene underground sekitar 2009-2015 dulu.

Mereka sering dijadikan rujukan muzik dan fesyen oleh kebanyakan band-band baru yang sedang meningkat naik mahupun band yang masih dalam proses penubuhan. Ini kerana pakej yang ada pada mereka yang mudah dinikmati. Punyai rupa, fizikal dan gaya yang in trend serta muzikal yang energetic memudahkan mereka diminati ramai.

Band yang kini terdiri daripada line up Jo – Vocals, Ridt – Guitar, Oli- Bass, Syakir – Drums dan Epul – Keyboard sudah pun tertubuh sejak 2007 dan aktif sekitar 2009 lagi ini pernah menjadi opening act bagi konsert Sleeping With Sirens dan Pierce The Veil beberapa tahun lepas jugak beberapa nama besar lain band antarabangsa yang berkunjung ke Malaysia.

Mereka pernah menerbitkan album pada 2012, Waste No Time yang menghimpunkan bahan-bahan popular diorang macam Party Till You’re Dead, Rise dan Waste No Time.

BLACK TERRITORY

Sebuah nama besar dalam metalcore yang kian dilupakan. Tak tahu di mana silapnya, tetapi kemuncak kegemilangan nama ini adalah ketika mereka bersama dalam line up original. Vokalisnya, Man benar-benar punya aura ala Randy Blythe. Dengan vocal yang mantap dan showmanship yang padu, Man telah membawa Black Territory jauh ke hadapan.

Tetapi bukanlah itu saja faktornya band ini gah. Juga kerana barisan musician yang hebat diketuai oleh bro Ayed Joe mencipta satu arrangement lagu yang sedap, padat dan menghiburkan. Dengarkan saja studio album This Is Black Territory. Lagu-lagu macam Black Territory, In Cries dan It’s So Hard sangat sedap didengar dan mudah untuk crowd ikut serta menyanyi bersama.

Mereka pernah jadi opening untuk show band-band hardcore dan metal besar yang datang menjengah ke negara kita macam Parkway Drive, Misery Signal, Carphatian, No Turning Back dan banyak lagi sepanjang karier diorang.

MASSACRE CONSPIRACY

Merekalah ‘King’ dalam scene metalcore. Sejak 2008, banyak band silih berganti, satu pun tak berjaya mencapai sukses seperti yang dikecapi band ini. Bermula dengan single Start Looking Toward the Sky, Massacre Conspiracy mara ke hadapan menjadi sebuah band yang makin hari makin besar. Meskipun awalnya mereka dibayangi kelibat Bring Me The Horizon, yang menampakkan seolah-olah sama level dengan band lain yang memakai imej emo dan nyanyi-nyanyi scremo untuk nampak cool. Ohh.. silaplah, mereka lebih dari itu.

Muzik mereka biarpun nampak happening, tapi sebenarnya corak gitarnya lebih terpengaruh dengan band-band Swedish melodic metal. Band ini banyak bercampur dengan kelompok metal ‘matang’, membuatkan kewujudan mereka agak dihargai berbanding rakan-rakan metalcore diorang yang lain.

Bukan setakat berbekalkan rupa, mereka membuktikan muzik mereka di tahap tinggi. Menjadi juara beberapa pertandingan Battle of the Bands, menjadi headliner bagi konsert besar macam Rock The World, menjadi opening band-band international dan banyak lagi kejayaan lain yang boleh dibanggakan. Mereka sudah berdiri di atas pentas festival metal rasaksa Hammersonic di Indonesia dan kemuncak penghormatan yang diberikan pada mereka apabila menjadi opening act untuk konsert Megadeth di Malaysia Mei lalu. Hari ni, kalau anda buat list band metal terbaik di Malaysia, anda tidak boleh mengecualikan nama Massacre Conspiracy.

Kredit bersama: Hentak Kepala



Sumber

قالب وردپرس

Mengapa Manuskrip Melayu Berakhir Di Pasar-Pasar Karat?


Perbezaan manuskrip Melayu Petani dan Aceh adalah daripada kekemasan khatnya. Di Aceh penerbitan kitab atau risalah menjadi suatu industri yang dijalankan secara besar-besaran menyebabkan ‘demand’ produksi yang terlalu tinggi mengurangkan cermatan pengarang. Sesetengah pengarang telah menyertakan tulisan “untuk dijual kepada” membayangkan nilai komersialnya di sana.

Berbeza di Semenanjung naskhah naskhah yang dikarang dibuat kebanyakannya sebegitu cermat khasnya di Petani kerana ia biasanya khas untuk akses patron patron diraja dan bangsawan Melayu.

Seperkara yang menarik minat saya ketika meneliti manuskrip-manuskrip Melayu di suatu institusi di Kuala Lumpur siang tadi adalah dapat mengetahui ‘features’ unik yang boleh diamati padanya.

“Teknologi Melayu adalah pada penghasilan manuskripnya”

Jelas Dr. Fauzi menerangkan kekuatan orang Melayu yang menjadi kegilaan Raffles dan orientalis Eropah lainnya.

Kita perlu memahami dari sudut pandang indigenis bahawa kekuatan kita bukan terletak pada gahnya monumen-monumen berupa Angkor Wat mahupun Borobudur tetapi pada anjung pemikiran, pada falsafat kerohanian, intelek yang menjadi budi atau psyche orang Melayu selama berkurun lamanya.

Terlopong juga saya apabila mengetahui yang satu keunikan manuskrip Petani yang tidak dapat ditemui pada yang lainnya di Alam Melayu selain bentuk khat dan ragam hiasnya(iluminasi) kami buat pertama kalinya diberitahu bahawa khat Petani adalah satu-satunya yang mempunyai tulisan rubrikasi berwarna ungu. Apabila saya tanya apa material pembuatannya, lagi terlopong apabila dinyatakan ia diambil daripada ekstrak tumbuhan senduduk.

“Raja Ungu”

Ini nama yang timbul dalam benak fikiran saya dan saudara-saudara pelangi baginda apakah dinamakan bersempena dengan meriahnya industri penghasilan warna celupan di Petani.

Alangkah majunya orang kita sehingga mampu membuat proses penghasilan dakwat yang bukan senang. Kami dimaklumkan juga bahawa kebanyakan kertas yang digunakan di Petani semenjak kurun ke-16 masihi datangnya dari satu keluarga penghasilnya di Italia. Dr Fauzi menyatakan ketika berkunjung ke Petani dahulu dia dapati ada kertas-kertas tersebut yang masih kosong baru dibawa keluar untuk ditulis oleh pelajar-pelajar pondok. Bayangkan berapa lama!?

Macam-macam lagi keajaiban manuskrip Melayu yang saya buat pertama kalinya menghayatinya secara ‘by hand” termasuklah berhadapan dengan manuskrip berbalut ‘cover’ kulit pokok tapi apabila dibuka didalamnya ada ilmu navigasi lama. Ilmu baru juga buat kami apabila mengetahui buku dahulu tidak ditaruh angka mukasurat sebaliknya ditandakan pada helaian berikutnya dengan perkataan terakhir yang tertera pada helaian sebelumnya.

Cuma daripada semua keajaiban dan ketakjuban seni penulisan intelektual tersebut sekali lagi terketuk kerana datang cerita-cerita klise bagaimana profesor profesor Melayu sendiri mempertikaikan usaha memelihara khazanah bangsa kita. Juga ramai yang menjadi sumber dapatan manuskrip kebanyakannya datang dari kalangan orang Melayu yang tidak reti membaca tulisan jawi. Bayangkan kitab-kitab yang ditulis oleh datuk mereka dan disimpan akhirnya dijual dengan harga RM 10 kerana anak cucu tak reti menilai. Jika mahu dijual pun juallah dengan harga yang bermaruah. Selebihnya tinggal sejarah banyak yang habis hayat di pasar-pasar karat, loken tempatan. Mesti lawak membayangkan riak muka pemburu manuskrip dari Singapura, Jepun atau Amerika jika mereka tahu hakikat ini.

Apabila ditanya apa isi maka ada yang menjawab “diari” sedangkan apa yang hendak diserahkannya itu adalah kitab sains lama nenek moyang dia sendiri.

Kebebalan anak bangsa kita begitu ketara sehinggakan ada satu kisah di sebuah galeri, satu kain batik lepas Petani orang kita pandang sebelah mata dan tidak diketahui gunanya sehinggalah satu hari menganga orang kita apabila datang sarjana mat saleh mengatakan “ini kain kebal” yang ditulis sebagai azimat masuk ke medan perang. Mengapa dia boleh tahu dan kita orang sini tidak tahu? Ini satu fenomena yang amat pelik.

Isu ini berlaku sebenarnya akibat pencairan intelek bangsa kita setelah gemilang beratus-ratus tahun. Kita mengatakan ini kerana seni dan teknologi tampak orang Melayu sebenarnya menggambarkan anjung dunia pemikiran(weltenschaung) mereka dan tatkala kita melihat hilangnya kefahaman dan penghasilan estetika orang Melayu maka tampaklah bahawa minda falsafah mereka kian terungkai.

Contoh satu lagi adalah dengan membandingkan seni tampak zaman klasik dengan hari ini kita dapat membaca perubahan minda Melayu yang semakin simplistik, hilang kehalusannya. Mengenang kata-kata seorang sahabat saya bahawa keris itu sendiri dipermuliakan dan dijinjing, disisip ke merata rata tempat dijulang sebagai simbolisme Melayu kerana ia adalah ’embodiment’ paling komprehensif identiti, intelek, falsafah dan sains teknologi Melayu. Ia dibawa ke hulu ke hilir melambangkan perjalanan dan memori panjang bangsa Melayu dan roh ini hilang dengan ketibaan undang-undang British yang melihatnya semata-mata sebagai perkakasan militan lantas diharamkan. Mujurlah ada raja-raja Melayu yang saban tahun memeliharanya dalam sekian istiadat-istiadat itupun hendak dibuang juga.

“Buat membazir duit rakyat saja” adalah kata-kata yang keluar dari mulut kita sendiri.

Ini bahana modenisasi dan materialisasi masyarakat yang diasuh untuk menjadi kaku, gersang dan hidup dalam kitaran ‘rat race’ kapitalis dan saki baki kepentingan berbau era kolonialis. Meminjam kata-kata seorang ilmuan dari Yayasan Karyawan, anak-anak kita tidak diajar dengan semua ini. Apa yang diajar adalah bila besar nanti nak jadi apa.

Kita perlu membina kembali kemahiran falsafah Melayu ini kerana ia ibu kepada pembangunan segala aspek material mereka. Mereka perlu disedarkan untuk menghargai dengan menyimpan hatta catatan-catatan kecil milik mereka sendiri demi faedah untuk anak cucu dan bangsa seratus mahupun lima ratus tahun akan datang. Harta intelek ini jangan dimuziumkan kerana ia bukan barang lapuk tetapi sentiasa hidup memberi faedah dan khasiat meneruskan pengaliran intelek lampau ke masa kini dan masa hadapan.



Sumber

قالب وردپرس