Tukang Cerita

Jom Jadi Ulama


Hendak menjadi ulama tidaklah semudah mengucapkan “Kamu Kafir, Itu Haram, Ini Palsu”. Sedangkan hendak menjadi juruterbang atau doktor pun mempunyai disiplin dan syarat-syarat tertentu kerana melibatkan hidup-mati manusia, inikan pula ingin menjadi ulama yang melibatkan syurga-neraka DIRI SENDIRI & UMAT.

Ulama merupakan jamak (kata ganda) bagi Alim iaitu mufrad (kata tunggal) baginya. Ianya berkait rapat dengan perkataan Ilmu. Maka bolehlah dikatakan bahawa seorang Ulama itu adalah manusia yang memiliki Ilmu-Ilmu. Walaubagaimanapun, menurut istilah, perkataan ulama ini selalunya sering dikhususkan kepada seorang ilmuwan dalam hal ehwal agama Islam.

Mereka digelar dengan gelaran Alim (mengetahui) adalah kerana mereka mengetahui ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis.

Mereka dikatakan “mengetahui” akan ilmu-ilmu tersebut adalah kerana mereka “memahami” akannya. Ini kerana rasulullah bersabda, “Jika Allah inginkan kebaikan kepada hambanya, pasti Dia akan memahamkan seseorang itu akan urusan (ilmu) Agama”.

Seseorang itu hanya akan memahami agama apabila dalam dirinya memiliki hikmah (kebijaksanaan/wisdom). Sesungguhnya, terdapat 5 ayat dalam al-Quran yang menggandingkan perkataan Kitabullah dan “Hikmah”. Hikmah pula hanya akan akan tercipta apabila seseorang itu memiliki hati dan akal yang bersih. Sesungguhnya ilmu itu cahaya, mana mungkin ilmu boleh bersama dengan kegelapan dalam hati.

Hati dan akal yang suci pula hanya akan muncul apabila seseorang itu kuat mengamalkan Sunnah Rasulullah. Kerana inilah, kita sering mendengar riwayat-riwayat yang mengisahkan tentang kesolehan para ulama. Kesolehan dan ketakwaan ulama adalah kerana mereka memiliki “khasyah” iaitu rasa takut kepada Allah. Oleh itu, benarlah firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud, “Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah ulama”.

Setelah seseorang memiliki kesemua ciri-ciri ini, barulah mereka layak digelar ulama dengan ilmu-ilmu yang dimiliki. Hanya mereka inilah yang layak mendapat pengiktirafan sebagai “Ulama Pewaris Nabi”. Seseorang yang tidak memiliki hal tersebut, tidak layak berbicara soal agama yang mendalam apatah lagi untuk digelar sebagai ulama.

Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda, “Barangsiapa menghuraikan Al-Quran dengan akal fikirannya sendiri dan merasa benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan” (HR. Ahmad).

Dari Ibnu Abbas Rasulullah Saw bersabda, ”Barangsiapa yg berkata mengenai Al-Quran tanpa ilmu maka dia menyediakan tempatnya sendiri di dalam neraka” (HR.Tirmidzi).

Seseorang yang ingin berkelayakan untuk menjadi ulama, perlulah menguasai beberapa disiplin ilmu asas. Bukan hanya semberono bercakap dan menjadi keyboard warrior lalu bergaduh di laman sosial sosial seolah-olah dialah sahaja yang teralim di dunia ini. Antara ilmu yang perlu dipelajari oleh seseorang ulama adalah:

Ilmu al-Quran :
1) Makhraj Huruf dan Tajwid
2) Fasohah
3) Tarannum
4) Qiraat
5) Maratib al-Tilawah (Tahkik, Tartil, Tadwir dan Tahdir)
6) Tafsir
7) Asbabul Nuzul
8) Tawarikh an-Nuzul
9) Auqat wa Mawathin an-Nuzul
10) Rasm al-Quran
11) Naskh wal Mansukh
12) Fawatih as-Suwar
13) ‘Irab
14) Bada’i
15) Wujh wa an-Nazha’ir
16) Makrifatil Muhkam wal Mutasyabihat
17) Gharibil Quran
18) Tanasubi ayatul Quran
19) Amsalul Quran
20) Jidalul Quran
21) Qasasul Quran
22) Aqsamul Quran
23) ‘Ijazul Quran
24) Adab Tilawatul Quran

Ilmu Hadis
1) Riwayah
2) Dirayah
3) Rijalul Hadis
4) Asbabul Wurud
5) Jarhi wat Ta’dil
6) Fannul Mubhamat
7) Tasyhif wat Tahrif
8) Ilal al-Hadis
9) Nasakh wal Mansukh
10) Gharibil Hadis
11) Talfiqil Hadis
12) Mustalah Ahlul Hadis
13) Mukhtalif

Oleh kerana al-Quran dan al-Hadis ini berasal dalam bahasa Arab yang tinggi mutunya, maka ilmu bahasa Arab juga perlu dikuasai agar makna yang hendak disampaikan oleh al-Quran dan al-Hadis benar-benar difahami. Antara ilmu yang perlu dipelajari bagi memahami bahasa Arab ialah seperti berikut :

Ilmu Bahasa Arab
1) Nahu
2) Saraf
3) Isytiqaq
4) Al-‘Arudh
5) Qawafi
6) Qardus Syi’ri
7) Insyaa
8) Mukhadarat
9) Khat
10) Badi’ (Balaghah)
11) Bayan (Balaghah)
12) Ma’ani (Balaghah)

Selain ilmu-ilmu tersebut, seseorang itu perlu mengetahui kesemua disiplin ilmu usul Fiqah, ilmu Qawaidul Fiqhiyyah serta penguasaan ilmu Mantiq, Maqulat Asyarah dan sebagainya. Seseorang itu juga perlu tahu membezakan antara hal-hal Usul dan Furu’. Dia juga perlu mengetahui fatwa-fatwa ulama silam mengenai sesuatu permasalahan sama ada sudah diijma’ atau masih lagi diperbahaskan.

Dia juga perlu tahu perbezaan antara pendapat peribadi seorang mujtahid (ikhtiyarat) dan keputusan muktamad ijtihad para ulama Mujtahidin. Sebagai fuqaha, seseorang itu perlu kenal pasti sesuatu fatwa itu samaada ianya Qaul Muktamad atau Qaul lemah. Beliau juga perlu tahu samaada fatwa itu merupakan Ijma’ (sepakat semua mazhab) atau Ittifaq (sepakat sebahagian kumpulan ulama) atau jumhur (pilihan majoriti ulama).

Sebagai contoh, sesuatu masalah itu mungkin telah dihukumkan dengan satu fatwa Ijma’ dari seluruh ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah samaada dari mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali dan mazhab-mazhab yang telah pupus. Atau mungkin masalah tersebut telah dihukumkan dengan suatu fatwa yang Ittifaq iaitu hanya sepakat oleh kumpulan fuqaha mazhab Syafie namun dalam mazhab Hanbali, mereka berittifaq dengan hukum yang lain dalam masalah yang sama. Jika fuqaha mazhab Hanafi dan mazhab Maliki bersependapat dengan padangan fuqaha mazhab Syafie, maka fatwa tersebut tergolong sebagai pandangan Jumhur Ulama.

Maka hal ini amatlah sulit untuk dikenal pasti kecuali bagi yang ahli pada bab ini. Adapun jika sesuatu masalah itu menjadi ikhtilaf dalam kalangan ulama sesama mazhab, maka perlulah seseorang itu bezakan turuq pandangan untuk memilih salah satu pandangan antara dua.

Walaubagaimanapun, kesemua ilmu yang disebut ini perlulah dibelajar secara talaqqi. Talaqqi perlu diadakan dengan menghadap guru dan menadah kitab dari kulit ke kulit dihadapannya. Talaqqi ialah pengajian yang berpegang kepada 5 Rukun ilmu. 5 rukun ilmu adalah:

1) Syeikh mursyid yang bersanad
2) Kitab yang muktabar
3) Manhaj yang benar
4) Murid yang beradab
5) suasana ilmiah

Pengajian Talaqqi ini perlu lah mempunyai Sanad. Sanad adalah rantaian salasilah guru kepada guru yang sampai kepada Rasulullah tanpa putus sebagai tanda autoriti dalam pengambilan ilmu.

Setiap satu disiplin ilmu ini perlu melalui 3 peringkat iaitu “mubtadi” (permulaan), “mutawasit” (pertengahan) & “muntahi” (tertinggi). Terdapat kitab-kitab khusus yang membincangkan disiplin ilmu berkenaan dalam setiap peringkat tersebut. Dalam satu peringkat, terdapat beberapa majlis Talaqqi yang perlu dilalui sebelum khatam dan mendapat Sanad. Bayangkanlah betapa lamanya perlu kita menuntut ilmu sebelum boleh berangan-angan untuk digelar sebagai Ulama.

Dalam Mukadimah Sahih Muslim, Imam Muslim meriwayatkan dari Imam Abdullah bin Al Mubarak, yang berkata, “Isnad itu sebahagian dari agama. Jika tidak kerana isnad, setiap orang akan berkata apa saja yang dikehendakinya (dalam urusan agama, tanpa ilmu mendalam tentangnya).”

Imam Ibnu Sirin berkata, “Ilmu itu adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agamamu (ilmu agama tersebut).”

Ibn Abdil Bar meriwayatkan dari Imam Al-Auza’i bahwasanya dia berkata, “Tidaklah hilang ilmu (agama) melainkan dengan hilangnya sanad-sanad (ilmu agama tersebut).”

Imam Sufyan Ats-Tsauri berkata, “Sanad adalah senjata seorang mukmin. Bila dia tidak memiliki senjata, dengan apa dia akan berperang?”.

Letihkan membaca?
Maka lebih letih ulama-ulama menuntut ilmu sewaktu mereka bergelar PELAJAR suatu ketika dahulu. Bayangkanlah betapa lamanya perlu kita menuntut ilmu sebelum boleh berangan-angan untuk digelar sebagai Ulama. Oleh kerana artikel ini cenderung berkaitan ilmu-ilmu yang perlu dituntut bagi menjadi seorang ulama, maka sepatutnya artikel ini bertajuk “JOM PERGI MENGAJI”

Gambar : Al-Alim Al-Allamah Al-Arif Billah Al-Faqih wa Sufi Al-Muhaddith Professor Dr Syeikh Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hassani al-Makki. Beliau merupakan guru yang tersangat alim dan memiliki ramai anak murid terutama yang berasal dari Malaysia, Indonesia & Fathani yang kini menjadi guru pondok di tanah air masing-masing.



Sumber

قالب وردپرس

Jejak-Jejak Peradaban Melayu Di Bumi Pahang


The recent discovery in the Malayan state of Pahang, the homes of apes and ivory and peafowl, ofimmense goldmine of very ancient date and of a workmanship that has no counterpart in southeastern Asia, supplies an ample reason for the designation of Golden so long applied to the Chersonese. Here hidden away under the shade of the primeval forestare excavations, which must have yielded in their time, tons of their precious metal……~Further India~.

Kata-kata Hugh Clifford tersebut telah lama menghantui saya. Beliau yakin bahawa pernah wujud satu lost civilization di Pahang yang mempunyai teknologi hebat dalam perlombongan emas. Beliau percaya bahawa bumi Pahang yang kaya dengan emas adalah penyebab mengapa Ptolemy menggelar Semenanjung Tanah Melayu ini sebagai Semenanjung Emas. Terdapat banyak lombong kuno dijumpai berselerak di Pahang. Lombong-lombong ini didapati menggunakan teknologi yang tinggi sehingga menyebabkan para sarjana sukar untuk mempercayai bahawa ianya dikendalikan oleh orang Melayu dan diandaikan pula bahawa ia dibina oleh bangsa asing yang tidak diketahui. William James Perry didalam bukunya The Children of the Sun menyebut:

The Malay Peninsula contains numerous remains of antiquity, not in the form of temples, but of ancient mines, the technique of which testifies to a high civilization……..

In this same region of the Tui valley have been found some stone rings whose use and makers are entirely unknown. Neither Malays nor Chinese in Pahang has any reasonable theory of the origin or the possible use of these things and it seems very improbable that the rings could have been made by either of these peoples. There are other signs of an alien people in this state.

Sumber lain yang menguatkan hujah bahawa di Pahang menyimpan sebuah tamadun silam yang hebat dan kaya dengan emas adalah dari catatan pengembara China Wang Tai Yuan pada tahun 1349. Menurutnya di Pahang perempuan-perempuan kaya memakai beberapa buah gelang emas yang dililit di kepalanya, dan orang kebanyakan pula menghiasi rambut mereka dengan gelang-gelang manik pancawarna. Catatan daripada penulis Portugis Manuel Godinho Eredia pula menyebut Pahang adalah negeri yang mempunyai lombong emas terbesar dan yang paling baik mutunya di seluruh semenanjung. Clifford pernah menyatakan bahawa, jika catatan sejarawan Yahudi kuno Josephus yang menyebut  bahawa Ophir adalah sama dengan Aurea Chersonesus, maka benarlah bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah lombong emas Nabi Sulaiman atau The Mines Of Solomon seperti yang tercatat dalam Kitab Perjanjian Lama.

Kajian mengenai Pahang zaman sebelum Melaka sebenarnya adalah terhad. Jika adapun adalah kajian lama yang telah dibuat oleh Orientalis British seperti Hugh Clifford dan W. Linehan. Sejarah negeri-negeri tua yang lain seperti Kelantan dan Kedah memang banyak berbanding Pahang. Tidak seperti kebanyakan negeri Semenanjung yang lain, pusat ketamadunan masyarakat Pahang pada zaman awal tertumpu di kawasan pedalaman dan jauh daripada pantai. Menurut Geoffrey Benjamin, keunikan negeri Pahang ialah kerana ia terletak di kawasan pertembungan diantara dua rumpun bahasa iaitu Mon-Khmer dengan rumpun bahasa Malayic atau Proto-Malayic dan ia adalah wilayah yang menghubungkan kawasan pantai barat dengan pantai timur dan utara pantai timur seperti Kelantan, Pattani, Negeri-negeri Segenting Kra serta Thailand atau ‘Benua Siam’. Orang zaman dahulu kalau nak ke pantai barat pasti akan menggunakan laluan sungai sepanjang Kelantan dan Pahang sehingga ke Jalan Penarikan dan sungai Muar.

Selain lombong-lombong emas, hutan negeri Pahang juga menyimpan pelbagai misteri lain. Dalam Buku Farther India tulisan Hugh Clifford, dicatatkan bahawa banyak ekspedisi dilakukan oleh para pengkaji British malah Russia dan Itali ke Hulu Pahang seperti Tembeling, Lipis, Jelai, Semantan, dan Gunung Tahan. Malah banyak kali juga ekspedisi mendaki di kawasan Gunung Tahan dibuat dan kebanyakan ekspedisi awal tidak berjaya sehingga ada yang mati. Apa yang mereka cari di sana sehingga sanggup mati? Wallah hu a’lam, saya pun tidak tahu apakah yang menyebabkan mereka begitu tertarik dengan pedalaman Pahang. Walaupun saya sendiri sudah mendengar pelbagai cerita-cerita pelik tentang tinggalan yang mungkin ada di pedalaman Pahang, namun saya bukanlah orang yang arif tentangnya.

Gunung Tahan

Tapi apa yang pasti hutan Pahang menyimpan satu tamadun yang sangat lama. Hal ini bukanlah aneh kerana hutan Pahang memang telah diiktiraf sebagai diantara hutan hujan khatulistiwa yang tertua didunia. Salah satu daripada tinggalannya ialah misteri penempatan kuno atau ada yang kata ‘kota’ di Tasik Chini. Apa sebenarnya yang ada disitu dan mengapa banyak kajian yang dilakukan disitu tidak disempurnakan dan menghadapi jalan buntu? Sebenarnya kajian terhadap penempatan kuno di tasik Chini bukanlah perkara baru. Sejak zaman pemerintahan British lagi para ‘Indiana Jones’ Inggeris selalu ke tasik tersebut untuk mencari ‘sesuatu’. R.G Cant pernah menyatakan bahawa berkemungkinan besar wujud kota pentadbiran bagi negeri Pahang di kawasan pedalaman.

Saya yakin aktiviti perdagangan di sepanjang laluan kuno Trans-Peninsular yang menghubungkan pantai barat dengan pantai timur melalui jalan penarikan telah mewujudkan pusat penempatan yang pesat di sepanjang lembah sungai seperti di sungai Pahang termasuk di Tasik Chini dan Bera. Apa yang pasti laluan Trans-Peninsular ini turut tercatat dalam peta yang dilukis oleh ahli geografi Yunani-MesirClaudius Ptolemy. Sungai Tembeling adalah salah sebuah sungai terpenting yang menghubungkan laluan dagang kuno ini. Oleh sebab itulah banyak jumpaan barang purba ditemui sekitar Sungai Tembeling. Malah kegiatan pembuatan tembikar tertua di Pahang juga masih wujud di Tembeling.

Di Kampung Batu Pasir Garam (di tebing Sungai Tembeling), ahli arkeologi telah menemui satu serpihan Dram Dong Son, dram kuno yang diperbuat daripada gangsa dan digunakan oleh orang yang mengamalkan Budaya Gangsa. Linehan menyatakan bahawa Dram Dong Son ini dibuat di Indochina dan dibawa ke Ulu Tembeling dari Funan pada sekitar abad ke-3, bersama-sama dengan alat besi kuno yang lain. Menurut Clifford jumpaan artifak dari zaman Hoabinhian, Neolitik, zaman gangsa, dan zaman besi menunjukkan bahawa laluan perdagangan tersebut telah wujud dan digunakan sejak ribuan tahun!

Catatan daripada rekod imperial China menunjukkan bahawa di Pahang pernah wujud sebuah kerajaan yang kaya dan berdaulat sebelum zaman Melaka. Chau Ja Kua merekodkan pada tahun 1226 bahawa sebuah negeri yang terletak di sekitar pantai timur semenanjung bernama Pe-hang bernaung dibawah kekuasaan Srivijaya. Kerajaan tersebut dilaporkan telah menghantar hadiah ke China pada tahun 1378, 1411, 1414 dan 1416. Turut dicatatkan bahawa raja yang memerintah Pahang pada tahun 1378 digelarMaharaja Tajau. Baginda telah menghantar duta ke China yang membawakan warkah rasmi yang dipahat di atas kepingan daun emas bersama enam orang hamba dan barang-barang hasil bumi dari Pahang untuk dipersembahkan kepada Maharaja China.

Rekod seterusnya menyebut pemerintah Pahang pada tahun 1411 bernama Pa la mi su la ta lo si ni atau Parameswara Teluk Chini telah menghantar ufti ke China. Kemudian Maharaja China telah mengutus Laksamana Cheng Ho untuk melawat kerajaan tersebut. Maka utusan dari Parameswara Telok Chini telah berkunjung sebanyak dua kali ke Cina iaitu pada tahun 1412 dan 1414. Daripada catatan inilah kita dapat membuat andaian bahawa memang wujud sebuah kota pemerintahan di sekitar pedalaman Pahang atau di Tasik Chini. Siapakah sebenarnya Maharaja Tajau dan Parameswara Telok Chini ini dan benarkah pernah wujud satu penempatan kuno di sekitar Tasik Chini?

Linehan pernah menyebut dalam catatannya mengenai sebuah tempat di Tasik Chini yang bernama Belukar Bata/Batol. Menurut beliau semasa beliau meninjau tempat tersebut beliau mendapati terdapatnyasebuah bukityang dilitupi dengan rumput yang tebal dan besar. Daripada pemerhatian yang dibuat didapati bahawa bukit tersebut bukan semualajadi tetapi adalah sebuah binaan. Linehan percaya nama tempat tersebut mempunyai kaitan dengan tinggalan bangunan, ataupun kota yang menjadi lagenda masyarakat tempatan. Dalam catatan yang sama juga Linehan menyatakan bahawa di dasar Sungai Jeram terdapat pecahan dan serpihan tembikar dan seramik tua di beberapa tempat.  Penemuan-penemuan yang disebutkan diatas menguatkan lagi hujah bahawa kawasan Chini-Jeram dan berdekatannya suatu ketika dahulu pernah menjadi laluan perdagangan mahupun penempatan yang pesat.

Menurut cerita penduduk asli yang mendiami sekitar tasik tersebut, terdapat sebuah kerajaan yang makmur di situ yang didiami oleh orang ‘SIAM ASLI’ yang menyembah patung-patung diperbuat daripada emas. Nama Chini tersebut dipercayai berasal dari perkataan Siam asli yang bermaksud ungka atau monyet. Penempatan masyarakat ini dibina di sekitar bukit yang dinamakan Bukit Balai . Menurut lagenda, bukit tersebut dinamakan Bukit Balai kerana dahulu wujudnya sebuah balai bagi menyambut orang-orang yang berkunjung atau lalu di kota tersebut. Di bahagian barat laut Bukit Balai terdapat sebuah lagi bukit yang dinamakan Bukit Berhala Besar. Bukit ini merupakan tempat pemujaan berhala yang paling besar bernama Henek/nenek bagi masyarakat kota itu. Sebuah lagi bukit bernama Bukit Ketaya yang berdekatan dengan tasik adalah tempat mereka melombong emas.

Apa yang lebih menarik, menurut lagenda tersebut masyarakat kota Tasik Chini sangat mahir dalam pembinaan sistem tadahan air dan saliran. Mereka membina sistem saliran di sekitar kawasan Chini yang mengalirkan dan menghubungkan air dari segenap arah yang bersambung dengan Sungai Chini. Mereka mengawal sistem saliran dan tadahan air ini menggunakan empangan. Namun setelah beberapa ratus tahun empangan tersebut akhirnya pecah dan mengakibatkan berlaku banjir besar dikawasan lalu membentuk Tasik Chini. Akibatnya ramai rakyat Chini yang mati kebuluran kerana sawah, ladang dan penempatan mereka dibanjiri air. Menurut lagenda itu juga akhirnya pemerintah Chini memindahkan istananya ke Belukar Batol. Sebenarnya hampir kesemua nama-nama tempat yang disebut didalam lagenda orang asli ini wujud di sekitar tasik Chini. Malah menurut seorang pengkaji K.E Southwood kisahnya adalah terlalu tepat dan boleh jadi benar.

Linehan juga pernah menyatakan yang dia telah menjumpai satu binaan yang terbuat dari batu bata di kawasan Kuala Chini dan di Pengkalan Durian. Berdekatan situ juga ditemui sebuah tempat yang dinamakan Padang Siam. Malah beliau turut menyebut tentang penemuan binaan batu bata di Langgar yang dipanggil Tambak Siam. Oleh sebab itu saya yakin sememangnya pernah wujud sebuah tamadun atau paling tidak sebuah penempatan lama di sekitar pedalaman Pahang atau Tasik Chini pada zaman dahulu.

Apa yang lebih menarik, menurut lagenda tersebut masyarakat kota Tasik Chini sangat mahir dalam pembinaan sistem tadahan air dan saliran. Mereka membina sistem saliran di sekitar kawasan Chini yang mengalirkan dan menghubungkan air dari segenap arah yang bersambung dengan Sungai Chini. Mereka mengawal sistem saliran dan tadahan air ini menggunakan empangan. Namun setelah beberapa ratus tahun empangan tersebut akhirnya pecah dan mengakibatkan berlaku banjir besar dikawasan lalu membentuk Tasik Chini. Akibatnya ramai rakyat Chini yang mati kebuluran kerana sawah, ladang dan penempatan mereka dibanjiri air. Menurut lagenda itu juga akhirnya pemerintah Chini memindahkan istananya ke Belukar Batol. Sebenarnya hampir kesemua nama-nama tempat yang disebut didalam lagenda orang asli ini wujud di sekitar tasik Chini. Malah menurut seorang pengkaji K.E Southwood kisahnya adalah terlalu tepat dan boleh jadi benar.

Linehan juga pernah menyatakan yang dia telah menjumpai satu binaan yang terbuat dari batu bata di kawasan Kuala Chini dan di Pengkalan Durian. Berdekatan situ juga ditemui sebuah tempat yang dinamakan Padang Siam. Malah beliau turut menyebut tentang penemuan binaan batu bata di Langgar yang dipanggil Tambak Siam. Oleh sebab itu saya yakin sememangnya pernah wujud sebuah tamadun atau paling tidak sebuah penempatan lama di sekitar pedalaman Pahang atau Tasik Chini pada zaman dahulu.

Berbalik semula kepada dua orang raja Pahang dalam catatan imperial China tersebut, penulis percaya bahawa Parameswara Telok Chini dan Maharaja Tajau merupakan orang Melayu Darat yang menguasai kawasan perlombongan emas dan bijih timah di Pahang sebelum Pahang ditakluk Melaka. Sebahagian besar kawasan paya sepanjang sungai Pahang mengandungi pasir dan batu batan kasar, ini menunjjukan bahawa kawasan paya ini dulu merupakan lombong bijih dan bukan kawasan penanaman padi pada awalnya. Apa yang pasti memang terlalu banyak nama-nama tempat di sekitar Tasik Chini dan Pahang yang memberikan kita petunjuk bahawa kota tersebut berkemungkinan besar didiami bersama oleh orang Siam asli dan Melayu dari negeri-negeri Melayu Utara atau Segenting Kra seperti Sri Dharmaraja atau Ligor yang memang mahir dalam pembuatan sistem saliran.

Linehan dalam bukunya A History of Pahang dipetik sebagai berkata:

The pre-Malaccan people of Pahang lived by mining gold, tin, and iron and planting rice. They left many traces: irrigation works, mine workings, remains of brick buildings [at Belukar Bata], specimens of Sawankalok pottery, and probably the pottery industry at Kuala Tembeling which has survived through the years to the present day. The preMalaccans occupied the Tembeling. They can be traced as far south as the Merchong. They extended into the Pahang and the Jelai; their tracks can be found along Lake Chini up to the head-waters of the Rompin; in the old Selinsing mines scoops of palas wood used by them have been discovered. They left numerous relics in gold-workings at Tresang and Sempore.

Antara tempat-tempat di Pahang yang banyak dikaitkan dengan penempatan kuno masyarakat Siam asli atau mempunyai makna dalam bahasa Siam asli adalah seperti Gunung Benom. Benom sebenarnya adalah dari bahasa Mon-Khmer yang bermaksud ‘Gunung’. Perkataan ini juga wujud dalam suku kaum berbahasa Aslian Mon yang masih wujud di Pahang hingga kini iaitu suku Jah Hut iaitu ‘Benam’ dan juga suku Che Wong ‘Banim’. Namun perkataan ini juga mempunyai kaitan dengan perkataan Melayu kuno iaitu ‘Banang’. Sungai Chenor pula dipercayai berasal dari perkataan Mon iaitu Cnor yang bermaksud kayuh. Sungai Reman dikatakan berasal daripada perkataan Mon iaitu Ramman atau Ramannadesa. Jeram Kuai dikatakan berasal dari perkataan Siam asli iaitu kuai yang bermaksud perlahan. Namun menurut pengkaji, perkataan yang lebih tepat ialah Koi yang berasal dari perkataan suku Batek yang mempunyai maksud yang sama. Selain itu Chini (ungka), Parit Siam, Tambak Siam, Lubang Siam (atau Lombong Siam), adalah nama tempat-tempat di sekitar hulu Pahang yang dikaitkan dengan Siam asli.

Kampung Senggora yang tidak jauh dari Tasik Chini juga merupakan petunjuk bahawa kota tersebut pernah didiami orang dari utara semenanjung. Malahan persamaan nama Tembeling dengan Tambralingga atau Ligor juga memberikan petunjuk yang kuat bahawa sememangnya Pahang pernah dipengaruhi atau diperintah oleh Melayu dari Sri Dharmaraja atau Ligor. Malah telah disebut dengan jelas dalam Sulalatus Salatin bahawa Maharaja Dewa Sura yang memerintah Pahang semasa serangan Melaka adalah saudara kepada Paduka bubunya Raja Siam. Malah di Tekam berdekatan Kota Gelanggi, Jerantut ada sebuah sungai yang bernama Sungai Lego yang sipercayai berasal dari perkataan Ligor. Kota Gelanggi di Jerantut itu sendiri sebenarnya dikaitkan dengan sebuah Lost City Siam asli atau Melayu darat iaitu Kota Klangkio yang dikatakan Tun Sri Lanang terletak di Hulu Johor.

Kaum asli yang tinggal di sekitar tasik Chini sekarang sebenarnya adalah Orang Jakun dan mereka ini termasuk dalam Proto-Malay  dan bukan Mon-Khmer. Sebab itu saya berpendapat jika wujud kota di dasar Tasik Chini, ia adalah kota purba MELAYU yang didiami bersama dengan Siam asli dari kalangan orang Mon dan Aslian bukan Khmer seperti yang digembar gemburkan sesetengah pihak. Sebabnya semua mitos berkenaan Naga-naga Seri Gumum, Seri Siam, Seri Kemboja, Seri Pahang dan Kota itu adalah dari mulut Orang Jakun sendiri dan mereka tidak kenal apa itu istilah ‘KHMER’. Orang Jakun di sini mempunyai perhubungan rapat dengan suku Asli lain iaitu Orang Semelai yang tinggal di sekitar Tasik Bera. Orang Semelai inilah yang berbahasa Aslian iaitu dalam rumpun bahasa Mon-Khmer. Mugkin nama-nama tempat yang dikaitkan dengan Siam dan Mon tersebut diberi oleh suku-suku Aslian ini.

Linehan pernah melaporkan bahawa ketua suku Jakun di kawasan Ulu Bebar iaitu Pak Usoh dari Kuala Serai dan Pak Mehat dari Kuala Merba mengakui bahawa mereka adalah keturunan ‘Orang Siam’ yang pernah berkuasa di Pahang sebelum penaklukan Melaka. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat Siam asli yang suatu ketika dahulu pernah memerintah dan memakmurkan negeri Pahang ini bukanlah terdiri daripada kaum rumpun Mon-Khmer atau Aslian sahaja tetapi juga Melayu-Proto. Dan seperti yang telah diterangkan oleh Cik Srikandi dahulu, bahawa istilah Siam asli yang digunakan oleh orang Melayu Melaka adalah merujuk kepada masyarakat Melayu dan Mon-Khmer yang beragama Buddha dan berasal dari ‘Benua Siam’ iaitu sebuah wilayah yang sekarang ini berada di Thailand.

Jadi disini Siam itu merujuk kepada nama wilayah dan bukan nama kaum, kerana suku kaum yang tinggal di wilayah tersebut terdiri daripada Melayu,Champa, Mon, Aslian, Khmer dan yang paling lewat datang ialah Thai. Kerajaan Ligor/Tambralingga/Sri Dharmaraja pula memang sebuah negeri Melayu. Rajanya orang-orang Melayu namun rakyatnya ada yang Thai, Mon dan Khmer. Sebab itu dalam Sulalatus Salatin, raja Benua Siam yang digelar Paduka Bubunya diakui oleh Sultan Melaka bahawa ‘raja Benua Siam bukan orang lain bahkan saudara mereka juga’. Semasa Melaka menerima Islam, Sri Dharmaraja masih menganut ajaran Buddha Theravada. Ketika era Ligor, barulah ada rajanya yang memeluk Islam.

Oleh itu kita berbalik semula kepada persoalan pokok, benarkah wujudnya sebuah penempatan kuno di sekitar Tasik Chini? Jawapan saya ialah ya. Sememangnya wujud sejenis penempatan purba di sekitar Tasik Chini kalau tidak di dasarnya. Samaada ianya wujud sebagai sebuah kota, bandar, pyramid, binaan kuil, candi dari batu bata atau hanya petempatan biasa dari kayu, wallah hu a’lam ianya tetap misteri. Masih banyak kajian yang perlu dilaksanakan disana untuk mendapatkan jawapan yang tepat. Sekian dari saya.

~ASJ~

Rujukan:

  • Hugh Clifford, Further India, Frederick A, Stokes Publisher. 1904.
  • Geoffrey Benjamin, Arkeologi Pelancongan Negeri Pahang, Lembaga Muzium Negeri Pahang.
  • J.N McHugh, The Daragon Of Chini and Recent Discoveries Under the Lake. Malaysian historical society.
  •  Zakaria Awang Ali, Latar Belakang Sejarah Perlombongan Emas Di Pahang Hingga 1914.
  • K.E Southwood, Lake Chini, A lost Settlement in Pahang.
  • W. Linehan, The Prince Of Chini, JMBRAS Vol XX. 1947.
  • W.Linehan, The History Of Pahang, JMBRAS Vol XIV. 1928.



Sumber

قالب وردپرس

Enam Tetamu Majlis Perkahwinan Muncul Berpakaian Sama ; “Kami Bukan Bridesmaid”


FB Foto – Debbie Speranza

Enam orang wanita yang dilihat seolah-olah bridesmaid dalam satu majlis perkahwinan di Australia telah mendapat perhatian golongan netizen di laman sosial.


Tular kerana berpakaian sama ketika hadir ke satu majlis perkahwinan tanpa dirancang menyebabkan salah seorang daripada enam yang memakai baju sama itu telah membuat satu posting melalui akaun facebooknya.

Debbie Speranza salah seorang mangsa menyuarakan pendapatnya tentang kejadian itu.

“Apa yang peliknya?” tulis Speranza, pada gambar enam wanita memakai dress sama potongan dan warna bersama pengantin perempuan, Julia Mammone yang bertugas sebagai guru.


Pakaian sama ‘Debbie Lace’ yang dipakai oleh enam orang wanita dijual pada hargaA$159.99 (RM538) di laman web Forever New.


Beliau juga memberitahu kepada syarikat ‘Australia Forever New’ melalui postingnya supaya “Anda memang harus mula membuat satu daftar pengantin supaya pelanggan boleh memeriksa sama ada orang lain telah membeli salah satu pakaian anda untuk acara yang sama.”

Posting kedua Speranza telah mendapat lebih dari 46,000 reaksi dan hampir 1,500 perkongsian.


Pengantin perempuan bagi majlis perkahwinan tersebut menggambarkan pertembungan enam wanita yang memakai pakaian sama itu sebagai sesuatu yang melucukan, katanya kepada The Daily Telegraph.

“Pada mulanya kami berpandangan sesama sendiri, tak tahu sama ada mereka mahu gelak atau pulang tukar baju,” katanya.

“Ia adalah mimpi ngeri setiap gadis, apa lagi yang boleh anda lakukan?.”

Perkahwinan Mammone dengan suaminya, seorang jurulatih peribadi, Dominic, berlangsung di Le Montage di Lilyville, lapor The Daily Telegraph.

Speranza yang mula sedar pakaian yang dipakainya sama dengan sepupunya ketika masuk ke majlis resepsi tersebut.



“Kami mula ketawa, tetapi kemudian seorang lain muncul… kemudian satu lagi… dan satu lagi. Tetamu di situ kira-kira 200 orang,” katanya.


“Ada antara mereka nampak sedikit ‘ahhhhh’ malu, tapi kemudian kami semua melihatnya sebagai sesuatu yang kelakar. Kami ibarat adik-beradik segera,” katanya.

Dia juga menafikan situasi yang berlaku secara kebetulan itu sengaja dibuat untuk mencari publisiti. – The Straits Times/Asia News Network



Sumber

قالب وردپرس

Anakin Skywalker Dalam Bangsa Melayu


Anakin Skywalker bukanlah jahat asalnya, dia baik dan biasa-biasa sahaja. Tetapi akibat silap dalam ‘problem management’ maka dia menjadi serabut dan huru-hara.

‘Problem’ Anakin ialah dia ‘fail’ nak seimbang kuasa dia.

Lepas itu dia jadi negatif. Maka akan ada orang dari kalangan dia akan datang menegur dan menasihatkan dia, dengan harapan akan kembali ke pangkal jalan. Anakin Skywalker pun dinasihatkan oleh Obi Wan Kenobi.

Tetapi Anakin Skywalker tak makan nasihat. Nasihat itu dilihatnya makin menyerabutkan hidup dia. Dia tak nak kembali ke pangkal jalan. Dia nak sesat, sesat dan lagi bagus kalau menyesatkan orang lain.

Lepas tu ada watak antagonis lain yang nampak peluang ini; memanipulasikan emosi Anakin supaya masuk perangkap dia. Pelannya untuk memusnahkan suku dia sendiri iaitu kaum Jedi itu.

Jadi Darth Sidious yang memang dengki dengan kaum Jedi pun mempergunakan Anakin yang bodoh itu untuk menentang Jedi. Anakin diberi tempat, dipujuk-pujuk dan dibelai-belai. Bila Anakin kutuk Obi dan Jedi, Darth Sidious pun tumpang semangkuk, jadi Anakin pun rasa dia disokong bukan dinasihati atau terasa mendengar khutbah yang menjengkelkan dari Obi Wan Kenobi.

Lepas tu macam biasa, Anakin memang betul jadi jahat dan lawan kaum dia. Darth Sidious rilek jer tengok dari jauh. Bila Anakin jahanam sampai cacat dan melecur kena larva gunung berapi, lengkaplah subconcious-mind dia bahawa kaum dia sendiri memang jahat, jahat dan jahat, padahal dia sendiri yang salah dan bodoh. Orang nak selamatkan dia, dia pergi dok lawan lagi. Takkanlah orang tu nak serah tengkuk dia semata-mata nak hapuskan delusi kamu?

Dalam realiti kamu akan lihat spesis Anakin Skywalker akan tumbuh di kalangan kamu lagi dan lagi. Para pengkhianat tak akan mati. Tetapi kita boleh bunuh sentimen mereka. Anakin Skywalker akan lahir dari orang yang delusi bahawa komuniti dia tak terima kewujudan dia, idea dia atau penampilan dia. Lepas tu dia akan menentang komuniti itu berdasarkan fantasi dan delusi dia apabila makin tidak dapat dikawal.

Anakin Skywalker akan anjurkan majlis-majlis pelik. Akan tukarkan kamu dari Islam kepada kafir secara perlahan-lahan dengan buatkan kamu rasa liberal dan moderate. Anakin Skywalker akan buat kepala tahu. Kepala batu dan akhirnya kepala lutut.

Anakin Skywalker akan diberi tempat. Akan dipujuk dan dibelai-belai. Bila Anakin Skywalker serang kamu, kutuk kamu, protes kamu… Anakin Skywalker akan disokong dan diberi dana. Anakin Skywalker akan diberi sebilah pisau.

Gunanya untuk cucuk kaum dia sendiri. Iaitu kamu dan kamu.  Lepas tu kamu mati. Anakin Skywalker akan dianugerahkan menjadi Darth Vader.

Anakin Skywalker seronok jika ada orang memuji tindakannya. Apabila ada orang memuji dan menyokong tindakannya, Anakin Skywalker rasa bangga dan membalas budi dengan berpihak di sebelah orang yang memuji tadi walaupun orang itu berniat jahat dengan kaumnya iaitu kaum Jedi.

Secara psikologinya, Anakin Skywalker terlintas juga bahawa pedang laser merah itu juga hebat. Dia pun teringin juga memiliki pedang merah itu walaupun dia tahu ia melambangkan kuasa jahat kaum Sith.

Akhirnya apabila Anakin Skywalker sudah sepenuhnya jahat, dia juga diberikan topeng, jubah hitam dan oh ya… pedang laser merah.

Apabila Anakin Skywalker sudah berubah ideologi dan pandangan hidupnya, maka dia berasa tidak sesuai bersama kaum Jedi. Kaum Jedi dirasakan kolot, jumud dan mengongkong dia yang progresif.

Realitinya, orang-orang yang mengaku liberal dan moderate amat sukar berada di dalam masyarakat kita di kampung atau di perumahan yang ada surau yang melaungkan azan 5 kali sehari, solat berjemaah, menghadiri majlis kenduri doa selamat dan kenduri-kendara lain.

Orang yang rasa dirinya liberal dan moderate hanya akan ‘memerlukan’ agama disaat hendak mati. Waktu itu barulah ‘orang surau’ dan ‘orang masjid’ diperlukan untuk menguruskan mayatnya, jika tidak mungkin dia malu dikuburkan di jirat atau membusuk begitu sahaja laksana bangkai anjing dilanggar lori.

Orang seperti ini akan mengkritik agama, hukum-hakam, hadis dan cara hidup muslim yang dirasakan tidak sesuai dengan kepalanya. Oleh kerana bangsa kamu memilih Islam, maka sekali dengan bangsa kamu, cara hidupnya juga dipangkah habis-habisan. Anakin Skywalker sukar mengimbangi ‘dark force’ di dalam dirinya.

Pihak yang membenci bangsa kamu akan tersedar sesuatu. Memperalatkan Anakin Skywalker adalah langkah bijak. Anakin Skywalker perlu diberi tempat. Anakin Skywalker perlu diberi ruang bersuara secukupnya. Anakin Skywalker akhirnya diberikan pedang laser merah itu.

Anakin Skywalker berasa amat seronok dan bangga. Seronok dia melibas pedang merah ke sana sini.

Anakin Skywalker jika dalam keadaan paling teruk begitu dan jiwanya patah akibat terus dibenci oleh masyarakatnya, akan bertukar menjadi Darth Vader. Kamu (Anakin) sudah menyerang, membuli dan mencucuk mereka, adakah kamu mengharapkan mereka mengucapkan “terima kasih, sayang?”.

Pergila mampus kamu menjadi Darth Vader, bila sudah tua dan mahu mati, kamu akan mengharapkan Jedi berada disamping. Baru nak berkata “You were right about me.” Sudahlah kau. Serabut. Baru berpura-pura sedar dan insaf, padahal bertahun-tahun sebelum itu, kamu menjahanamkan dan menyusahkan mereka.



Sumber

قالب وردپرس

The Ghazi Attack: Pertempuran Jerung Besi Di Lautan Periuk Api


Sejarah PNS Ghazi

1. Asalnya merupakan sebahagian daripada kapal selam milik Angkatan Laut USA yang dilancarkan pada tanggal 1 Disember 1944 dan Leftenan Komando Gordon Graham Mathson menjadi kapten pertamanya.

Nama yang diberikan adalah USS Diablo yang bermaksud Syaitan dalam bahasa Sepanyol. 

2. USS Diablo digunakan dalam era Perang Dunia Kedua oleh Angkatan Laut USA dari tahun 1945 sehingga ke tahun 1963 sebelum ianya dipinjamkan kepada Angkatan Laut Pakistan di bawah perjanjian SAP iaitu Security Assistance Program yang dimeterai antara pemerintahan Ayub Khan dan pemerintahan John F.Kennedy.

3. USS Diablo menyertai Angkatan Laut Pakistan dan berlabuh di pelabuhan Karachi pada tanggal 4 September 1964.

USS Diablo ditukar nama kepada PNS Ghazi yang bermaksud Pahlawan Suci.

4. Pihak India memandang PNS Ghazi merupakan ancaman terbesar bagi mereka kerana ianya merupakan kapal selam berkelajuan tinggi jarak jauh yang dilengkapi sistem persenjataan yang canggih beroperasi buat pertama kalinya di Asia Selatan.

Walaupun pihak lain memandang PNS Ghazi sebagai ‘clockwork mouse’ dan ianya hanya digunakan untuk sesi latihan tetapi pihak India memandang penyertaaan PNS Ghazi ke dalam pihak Pakistan sebagai ‘raksasa besi’ yang menunggu masa untuk membaham mereka.

5. Akhirnya kerisauan pihak India mula terlihat apabila pihak Pakistan menggerakkan PNS Ghazi ketika pasca Perang India-Pakistan yang bermula pada tahun 1965.

Persenjataan Dan Kemampuan Pns Ghazi

1. Kelajuan:

a. Di permukaan kelajuannya mencapai 37.50 km/jam (23.30 mph).

b. Di dalam laut kelajuannya mencapai sekitar 16.21 km/jam (10.07 mph).

Pernah menyelam sejauh 400 kaki dari dasar laut (120m) dan boleh melakukan pelayaran sejauh 11,000 mil Nautika (20,000 km) dan 16,000 mil Nautika (30,000 km).

2. Senjata.

a. Mempunyai 10 lubang torpedo, enam lubang di hadapan dan dua lubang di belakang yang berkeluasan lebar 533 m.

Menggunakan torpedo jenis Mark 14 (torpedo anti-kapal). Jenis peluru ini digunakan oleh pihak Angkatan Laut USA ketika pertempuran di dalam Perang Dunia Kedua.

Berat peluru ini mencapai sekitar 1,490 kg, panjang 6.25 m dan lebarnya adalah 530 mm.

Kapal selam Ghazi mampu menembak peluru torpedo ini sejauh 4,100 m pada kelajuan rendah iaitu 85 km/jam dan sejauh 8,200 m pada kelajuan tinggi iaitu 57 km/jam.

b. Kapal selam Ghazi juga dilengkapi senjata jenis Machine Gun M1919 Browing dan Oerlikon 20 mm Cannon.

c. Membawa periuk api jenis Moored-Min

 

Kronologi Peristiwa Hancurnya Pns Ghazi

1. Pasca Perang India-Pakistan 1971, pada bulan Ogos 1971.

Angkatan Laut India meletakkan kapal pengangkut pesawatnya yang utama dan digeruni oleh pihak Pakistan iaitu INS Vikrant di pelabuhan Angkatan Laut India di Timur iaitu Visakhapatnam (berdekatan dengan Pakistan Timur).

Dengan perpindahan INS Vikrant ke Visakhapatnam membuatkan pihak Angkatan Laut Pakistan mengubah haluan operasi bagi kapal selamnya, PNS Ghazi.

Pada waktu ini jumlah anggota pegawai dan pelaut di Pakistan Timur tidak ramai dan wilayah di sini tidak mempunyai posisi yang kuat untuk mempertahankan diri menghadapi kekuatan Angkatan Laut India.

2. Pemerintahan Yahya Khan menekan pihak Angkatan Laut Pakistan untuk menghantar PNS Ghazi ke Pakistan Timur untuk melindungi wilayah itu tetapi pihak Angkatan Laut Pakistan tidak mahu kerana ianya diumpamakan menghantar senjata terbaik ke dalam rumah musuh.

3. Akhirnya pihak Angkatan Laut Pakistan terpaksa mengakur setelah didesak oleh pemerintah Pakistan.

Pada tanggal 14 November 1971, PNS Ghazi menyelam dengan senyapnya melintasi Laut Arab dan melalui semenanjung India dan menuju ke Pakistan Timur.

4. PNS Ghazi yang diketuai oleh Komando Zafar Muhammad bersama 10 orang pegawai dan 82 orang pelaut membawa misi rahsia yang bakal mengubah nasib mereka semua.

5. PNS Ghazi menghantar mesej ke Angkatan Laut Pakistan Timur di pelabuhan Chittagong untuk menyediakan minyak gred khusus yang digunakan secara ekslusif oleh kapal selam jenis diesel-elektrik.

Tetapi mesej ini berjaya dipintas oleh Angkatan Laut India dan mereka tahu pada waktu itu hanya satu sahaja kapal selam milik Pakistan yang mampu melakukan perjalanan yang jauh dari pelabuhan Karachi iaitu PNS Ghazi.

6. Pada tanggal 16/11/1971, Angkatan Laut India melaporkan telah mengesan keberadaan PNS Ghazi yang sejauh 400 km dari Bombay.

7. Pada tanggal 19/11/1971 dikatakan PNS Ghazi dikesan di perairan Sri Lanka sebelum ianya memasuki perairan Teluk Bengal.

8. Pada tanggal 20/11/1971, ketika PNS Ghazi memasuki perairan Teluk Bengal maka, komando Zafar Muhammad membuka fail rahsia yang mengandungi dua misi, iaitu:

a. Misi utamanya adalah mengesan kedudukan INS Vikrant dan menghancurkannnya pada tanggal 23/11/1971.

Tujuan utama Angkatan Laut Pakistan untuk memusnahkan INS Vikrant supaya pihak Pakistan dapat memegang kuasa sepenuhnya di Teluk Bengal dengan memudahkan Angkatan Laut Pakistan berhubung dengan Pakistan Timur melalui jalur laut.

b. Misi kedua adalah meletakkan beberapa buah periuk api jenis Moore (wayar panjang) di perairan Teluk Bengal.

Misi kedua ini tetap dilakukan jika misi pertama berjaya atau gagal.

9. Apabila mengetahui keberadaan PNS Ghazi di perairan Teluk Bengal maka Naib Laksamana N.Krishnan yang berpengkalan di Angkatan Laut India Timur mengarahkan INS Vikrant digerakkan secara rahsia ke suatu lokasi rahsia iaitu ‘Port X-Ray’ yang berada di antara kepulauan Andaman dan Nicobar.

Digelar Port X-Ray (atas sebab keselamatan) oleh Naib Laksamana N.Krishnan di dalam bukunya ‘No Way But Surrender: An Account of the Indo Pakistani War in the Bay of Bengal 1971’ sebagai sebuah pangkalan rahsia yang terputus hubungan dengan dunia luar.

10. N.Krishnan yang dapat membaca strategi pihak Pakistan yang menghantar PNS Ghazi untuk memusnahkan kapal miliknya terus merancang suatu perangkap untuk memerangkap PNS Ghazi.

N.Krishnan turut meminta bantuan dari para nelayan yang menangkap ikan di sekitar pantai Visakhapatnam untuk melaporkan kepadanya jika melihat kapal selam atau sebarang benda yang dianggap mencurigakan di kawasan terbabit.

11. Pada tanggal 30/11/1971, PNS Ghazi telah terlewat selama 10 hari untuk sampai ke perairan pantai Visakhapatnam.

Maka misi pertama untuk memusnahkan INS Vikrant gagal.

(Pada masa ini, INS Vikrant dilaporkan berada dengan selamat di lokasi rahsia itu).

12. Pada tanggal 1/12/1971, N.Krishnan mengeluarkan arahan supaya kapal penghancur milik India pada masa Perang Dunia Kedua iaitu INS Rajput digerakkan dari pelabuhan Visakhapatnam untuk menjadi umpan menggantikan INS Vikrant.

Pada masa ini INS Rajput sepatutnya telah dinyah-aktifkan daripada sebarang bentuk pertempuran kerana kondisinya yang sudah lama, tetapi N.Krishnan menggunakan kesempatan ini untuk menghidupkan kembali INS Rajput.

13. INS Rajput melakukan isyarat radio yang kuat ketika berada di perairan Teluk Bengal untuk mengalih perhatian dan mengumpan PNS Ghazi mendekati INS Rajput.

PNS Ghazi disyaki berada di sekitar kawasan perairan Madras (Chennai) atau Visakhapatnam.

14. Setelah gagal untuk mengesan lokasi INS Vikrant, Komander Zafar Muhammad meneruskan misi yang seterusnya iaitu meletakkan periuk api di perairan Visakhapatnam (di jalur laluan yang berkemungkinan akan dilalui oleh INS Vikrant).

Ini bertujuan untuk menghancurkan INS Vikrant atau untuk menyekat kapal perang India berhubung dengan pangkalan laut India Timur di Visakhapatnam.

15. Sepatutnya Komander Zafar Muhammad melaporkan misinya pada Pusat Angkatan Laut Pakistan pada tanggal 26/11/1971 tetapi laporan mengenai status PNS Ghazi tidak diterima.

Pada waktu ini, PNS Ghazi masih berkeliaran di bawah laut sekitar perairan Visakhapatnam.

16. Pada tanggal 3/12/1971, Komander Zafar Mohammad mengesyaki keberadaan INS Vikrant di perairan pantai Visakhapatnam dan bersedia untuk meletakkan periuk api buat kali kedua di kawasan ini. Kapten Zafar Mohammada telah terpancing dengan isyarat gelombang milik INS Rajput.

Padahal waktu ini, pihak India melaporkan bahawasanya dari catatan Naib Laksamana N.Krishnan, beliau mengarahkan INS Rajput keluar ke perairan Visakhapatnam untuk memastikan keberadaan PNS Ghazi pada pukul 11:40 pm.

17. Kapten Inder Singh beserta krewnya belayar di atas INS Rajput di perairan pantai Visakhapatnam sebelum PNS Ghazi dikesan berada di kawasan itu.

18. Kapten Inder Singh yang dapat mengetahui keberadaan PNS Ghazi yang tidak jauh dari lokasi mereka akhirnya memerintahkan untuk menembak peledak kedalaman (depth charge) anti-kapal selam sebanyak dua biji ke arah titik yang dikenalpasti laluan yang akan dilalui oleh PNS Ghazi.

19. Selang beberapa minit, kedengaran letupan yang kuat dari bawah laut yang mengegarkan suasana malam bumi Visakhapatnam.

Hasil laporan, bunyi letupan ini didengari oleh penduduk tepi pantai Visakhapatnam.

20. Pada pagi hari tanggal 4/12/1971, PNS Ghazi dilaporkan tenggelam di perairan pantai Visakhapatnam dan menenggelamkan seramai 92 orang termasuk Komander Zafar Mohammad.

Dilaporkan Angkatan Laut India menghantar kapal selam INS Karanj untuk melihat kawasan tragedi.

21. Di dalam catatan ‘The Story of the Pakistan Navy’ pada tahun 1991 melaporkan pihak India memerlukan sebanyak 6 hari dari tanggal 4/12/1971 sehingga tanggal 9/12/1971 untuk mengesahkan PNS Ghazi karam di perairan pantai Visakhapatnam.

Kapten Inder Singh beserta para krewnya diberikan Pingat Kehormatan diatas jasa mereka mempertahankan negara dan menenggelamkan kapal selam musuh yang menjadi ancaman paling bahaya buat India melalui jalur laut.

22. Di atas memperingati kejayaan mereka ini, pihak kerajaan India membina Tugu Kemenangan berdekatan lokasi tenggelamnya PNS Ghazi.

Misteri Tenggelamnya Pns Ghazi

Tragedi tenggelamnya PNS Ghazi diperdebatkan antara kedua belah pihak diantara pihak India dan pihak Pakistan. Perdebatan di antara penulis sejarah India dan Pakistan berlangsung begitu lama mengenai misteri penyebab tenggelamnya PNS Ghazi.

a. Pihak India.

Hasil daripada laporan, titik lokasi tenggelamnya PNS Ghazi merupakan titik lokasi peledak kedalaman anti-kapal selam yang dilepaskan dari INS Rajput.

Pengesahan dari pihak India ini diumumkan pada tanggal 9/12/1971 dengan kenyataan yang PNS Ghazi karam terkena peledak kedalaman anti-kapal selam yang ditembakkan oleh INS Rajput.

Catatan ini juga dilaporkan oleh Naib Laksamana G.M Hiradani di dalam bukunya, ‘The Offical History of the Indian Navy: Transition to Triumph’, yang menjelaskan keterangan tentang tenggelamnya PNS Ghazi bersangkut paut dalam operasi rahsia ketenteraan Angkatan Laut India yang menghantar INS Rajput untuk memusnahkan PNS Ghazi. INS Rajput dihantar dari pelabuhan Visakhapatnam ke kawasan yang disyaki keberadaan PNS Ghazi. Laporan letupan yang didengari oleh penduduk Visakhapatnam dan waktu tenggelamnya PNS Ghazi adalah sama.

Tetapi Hiradani juga menyatakan tenggelamnya PNS Ghazi juga ada hubungannya dengan letupan dalaman yang berlaku di dalam PNS Ghazi.

(Penyebab ini boleh dibahaskan, jelasnya).

Pada tahun 2003, Angkatan Laut India menghantar para penyelamnya untuk melakukan siasatan lagi ke atas bangkai PNS Ghazi dan menemui beberapa objek penting seperti buku catatan perang PNS Ghazi (war log), data dari komputer dan beberap fail dokumen yang mengandungi misi rahsia yang dibawa oleh PNS Ghazi pada masa itu.

Dari laporan para penyelam ini, dinyatakan punca PNS Ghazi juga disebabkan letupan dalaman yang berlaku disebabkan letupan gas hidrogen ketika bateri kapal selam diisi-ulang di bawah laut.

Pada tahun 2010, Leftenan Jeneral J.F.R Jacob menulis artikel berkenaan tragedi PNS Ghazi yang menyatakan peristiwa tenggelamnya PNS Ghazi disebabkan kerosakan dalaman seperti catatan dan laporan yang direkodkan. Terdapat banyak pandangan dari penulis India yang menyatakan tentang letupan dalaman yang berlaku dalam PNS Ghazi.

Pada tahun 2011, Laksamana Arun Prakash melaporkan di dalam Pertemuan Keamanan Negara, tragedi tenggelamnya PNS Ghazi tidak bersangkut paut dengan serangan INS Rajput seperti yang disahkan oleh pihak mereka pada ketika itu.

b. Pihak Pakistan.

Di pihak Pakistan, Angkatan Laut Pakistan melaporkan menolak dakwaan pihak India yang mengesahkan tenggelamnya PNS Ghazi disebabkan oleh serangan INS Rajput melainkan PNS Ghazi tenggalam disebabkan letupan dalaman yang berlaku di bahagian bateri ataupun Komander Zafar Mohammad tersilap percaturan.

Tersilap percaturan di sini bermaksud PNS Ghazi tersilap langkah ketika waktu ingin menyerang INS Rajput yang disangkakan INS Vikrant dan secara tidak sengaja terlanggar salah satu periuk api milik mereka yang diletakkan di kawasan itu.

Pada tahun 2012, pihak Pakistan yang masih tidak berpuas hati dengan dakwaan pihak India melakukan siasatan kembali ke atas bangkai PNS Ghazi dengan menggunakan sinaran solar dan lakaran PNS Ghazi dan menyatakan: “Letupan berlaku dari Forward Torpedo Room (FTR) dan inilah yang menyebabkan kehancuran PNS Ghazi”.

Kenyataan ini dilaporkan di dalam India Today dan ianya dikongsikan oleh pakar pertahanan, Sandeep Unnithan.

– TAMAT –

Sumber Rujukan:

1. Pakistan’s Crisis in Leadership, Maj. General Fazal Muqeem Khan, 1972.

2. No Way but Surrender: An Account of the Indo Pakistan War in the Bay of Bengal 1971, Vice Admiral N.Krishnan.

3. The Ghazi Attack: All You Need to Know About PNS Ghazi, India Today, 2017.



Sumber

قالب وردپرس

Bekas Pesakit Mental Penggal Kepala Cucu Dan Bawa Bersiar-Siar


Seorang pembunuh yang dibebaskan dari hospital mental enam tahun lepas, telah memenggal kepala bayi berusia 18 bulan dengan pisau dan membawa kepala bayi berkenaan bersiar-siar di Astrakhan, Russia.

Pihak polis terpaksa menembak Mikhail Elinsky, 42, kerana enggan menyerah diri dan mengacu pisau terhadap pihak polis.

Mikhail turut menikam ibu mangsa, iaitu anak saudaranya, Tatiana, mengakibatkan kecederaan serius, berdasarkan laporan Daily Mail.

Sebelum ini, Tatiana pernah merayu kepada pihak berkuasa supaya tidak membebaskan lelaki itu dari hospital mental kerana bimbang dengan keselamatan keluarga kerana Mikhail membunuh seorang wanita enam tahun lalu.

Tatiana berkata kejadian berlaku ketika mereka hendak keluar dan anaknya duduk di atas basikal roda tiga.


“Dia menarik anak saya dan membawanya ke dapur, menutup pintu dan mula ‘memotong’ anak saya.


“Saya berlari ke dapur untuk menghalangnya tapi dia tikam perut saya,” katanya.

Lelaki itu berlari di jalan raya sambil membawa kepala mangsa dan polis mengambil masa setengah jam untuk cuba menahannya sebelum melepaskan tembakan, menurut laporan tempatan.

Pada enam tahun lalu, lelaki itu membunuh wanita pembantu kedai di bandar berkenaan, menikam mangsa berkali-kali ketika mabuk.

Dia disahkan mempunyai masalah mental ‘paranoid schizophrenia’ menyebabkan dihantar ke hospital mental dan dibebaskan baru-baru ini, selepas disahkan‘ sihat.

Sumber – Daily Mail



Sumber

قالب وردپرس

Berhala Kaum Arab Jahiliyyah


Bentuk berhala-berhala kaum al-Anbat(Nabateans) adalah sangat menarik untuk dikaji, ia memberi gambaran asal buat kultus keagamaan masyarakat Arab jahiliyyah pada waktu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam kerana kesemuanya yang pernah wujud di Jazirah Arabiah sudah dimusnahkan selepas peristiwa Fathu Makkah.

Tahukah anda bahawa bentuk terawal berhala-berhala Arab adalah asing daripada gaya antropomorfik Yunani dan Greek. Pada zaman yang lebih lewat barulah dewa-dewa mereka diberi bentuk manusia seperti yang dijumpai di tapak-tapak ar-Raqim(Petra) dan at-Tadmur(Palmyra). Prototaip berhala Nabatu adalah berbentuk ringkas simetri dan tergolong kepada beberapa jenis yang akan saya beritahu kemudian.

Berhala-berhala al-Anbat ini dikenalpasti sebagai asal kepada sesembahan Arab Makkah, dan ia selari dengan catatan sirah nabawiyyah bahawa pemimpin Arab pertama yang memperkenalkan kultus purba ini di Makkah adalah Amru Ibn Lu’ayy seorang pemimpin Jurhum yang membawa pulang sebuah berhala daripada kota Busra setelah nazarnya kepada berhala itu agar disembuhkan daripada penyakit tertunai. Dewa-dewa yang terkenal membentuk 360 ‘pantheon’ di sekeliling Ka’abah asy-Syarifah adalah al-Uzza, al-Laat, al-Manaat dan Hubal. Asaf dan Nailah adalah sembahan asli Makkah yang kononnya adalah manusia yang bertukar menjadi batu akibat berzina di sekitar al-Haram.

Berhala-berhala ini adakalanya didirikan ibarat batu-batu Tiki Pulau Rapa Nui, kebanyakannya diletakkan pada mihrab-mihrab yang dipanggil “Massebah” atau takhta “Mawtab” dan wujud juga dalam bentuk individual portable digelar”Nisbah”. Ingat lagi tak kisah Sayyiduna Umar dan berhala kurmanya?

Gambar: Berhala Al-Laat dari Bosra. Pemiliknya menulis dalam inskripsi Nabati berbunyi “Nisbah Al-Laat Ilahah” (Representasi Dewi Laat).



Sumber

قالب وردپرس

(Video) Iran Laksana Hukuman Gantung Sampai Mati Di Khalayak Ramai Pesalah Rogol Dan Bunuh Kanak-kanak


Iran dilaporkan telah melaksanakan hukuman gantung sampai mati di khalayak ramai ke atas seorang lelaki yang didapi bersalah merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun.

Rakaman yang menunjukkan Esmail Jafarzadeh, 42, digantung sampai mati telah disiarkan di laman web agensi penyiar rasmi kerajaan.

Esmail digantung di satu lokasi di bandar kecil Parsabad, di wilayah Ardebil, utara Teheran.

Naser Atabati, Pendakwaraya wilayah Ardebil berkata, pelaksanaan hukuman gantung di khalayak ramai itu bertujuan mengembalikan keyakinan dan ketenangan orang ramai terhadap tahap keselamatan negara tersebut.

Menurut kes, mangsa yang dikenali sebagai Atena Aslani, 7, hilang pada 19 Jun lalu ketika bapanya sedang berniaga di tepi jalan. Kes tersebut telah menimbulkan kemarahan orang ramai di Iran.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan polis, Esmail mengaku bahawa telah merogol dan membunuh kanak-kanak tersebut setelah pihak polis menemui mayat budak perempuan itu di rumahnya.

Mahkamah Agung mengesahkan hukuman ke atas Esmail pada 11 September lalu dalam perbicaraan yang hanya berlangsung dalam masa seminggu sebelum dia disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Manakala Pendakwaraya wilayah Parsabad juga turut mengesahkan bahawa Esmail telah mengaku membunuh seorang wanita dua tahun lalu, namun mayat mangsa tidak ditemui.

Amnesty International menyatakan Iran adalah antara lima negara di dunia paling banyak melaksanakan hukuman mati pada tahun 2015, walaupun Iran tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan jumlah hukuman mati yang telah dilaksanakan.

Video di bawah menunjukkan contoh hukuman gantung di khalayak awam yang pernah dilaksanakan di Iran.

Sumber : Newsweek



Sumber

قالب وردپرس

Makam Terracota – Keajaiban Dunia Yang Menyimpan Seribu Kisah


Jauh terletak di Xian China, terdapat sebuah makam yang sehingga hari ini masih dibicarakan oleh seluruh dunia dengan penuh kegaguman yang tiada tandingnya. Itulah makam yang dimiliki oleh seorang maharaja pertama yang menyatukan seluruh China, dikira sebagai salah satu daripada makam maharaja yang paling besar di dunia, dengan struktur ajaib berbentuk piramid dan barang yang dikuburkan bersama dengan maharaja ini.

Sejarah bercerita kepada kita bahawa makam ini ditemui pada tahun 1974 secara kebetulan oleh petani yang sedang menggali perigi sebelum menjumpai sejumlah besar serpihan tembikar. Penemuan ini kemudian dikesan oleh seorang pegawal kerajaan yang berkhidmat sebagai pelindung artifak budaya China telah menyedari bahawa penemuan tembikar itu bukan calang-calang penemuan lalu melaporkan kepada kerajaan.

Daripada laporannya, maka bermulalah penemuan-penemuan seperti Patung Tanah Liat yang berupa tentera purba zaman Chna serta patung kuda yang diperbuat daripada tembikar. Penemuan ini telah menggemparkan dunia kerana benda seumpama ini adalah pertama kali dilihat oleh dunia. Sehingga hari ini, yang telah dijumpai selepas proses cari gali yang panjang, sebanyak 500 patung tanah liat tentera Dinasti Qin dijumpai bersama dengan 18 buah pedati perang yang diperbuat daripada kayu dan juga patung kuda yang diperbuat daripada tembikar.

Tinggi setiap patung tanah liat itu ialah 1.8 meter setiap satu daripadanya, dan yang paling mengejutkan adalah setiap wajah setiap patung adalah wajah yang berbeza! Tiada satu patung yang mempunyai wajah yang seiras memberitahu kepada kita bahawa sesungguhnya, tenologi pahatan ketika 2000 tahun yang lalu pada zaman Dinasti Qin itu sudah maju!

Kenapa makam ini dibina dan siapakah yang bertanggungjawab disebalik pembinaannya? Orangnya tidak lain dan tidak bukan ialah Shi Huangdi, maharaja pertama yang menyatukan seluruh China pada tahun 246 SM sehingalah siap 208 SM! Usianya kira-kira 400 tahun lebih muda daripada tapak arkeologi Sungai Batu, yang merupakan tapak terawal Tamadun Melayu. Selepas menyatukan seluruh China, maka antara projek-projek hebat Shi Huangdi ialah membina sebuah makam persediaan untuknya menghadapi kehidupan yang akan datang, agar dia boleh kekal menjadi raja ketika di alam selepas kematian.

Sebab itu kalau kita meneliti makam tersebut seperti mana yang dicatatkan oleh Sima Qian di dalam bukunya Record Of The Grand Historian di mana di dalamnya tercatat sebuah autobiografi untuk maharaja pertama China ini. Menurut Sima Qian, makam ini dibina oleh 700 ribu lelaki yang dikerah dari segenap empayar Shi Huang Di. Mereka telah menggali tiga tingkat lapisan dan menuangkan gangsa pada di luar keranda Shi Huang Di. Pemandangan istana berserta lebih 100 buah Menara dibina di dalamnya. Makam itu juga dibina perangkap panah dan panah itu akan menembak secara automatik sesiapa yang menjejakkan kakinya ke dalam makam ini.

Beratus-ratus sungai yang airnya diperbuat daripada merkuri juga dibina dalam ini, melambangkan Sunga Yangtze dan Sungai Kuning yang terkenal dalam legenda China. Dikatakan juga bahawa setiap gundik Shi Huangdi turut ditanam hidup-hidup di dalamnya demi menemani Shi Huangdi yang dimakamkan disitu. Bahkan setiap jurutera yang mencipta perangkap-perangkap dan pelan makam itu turut dimakamkan bersama Shi Huangdi kerana tidak mahu rahsia harta karun yang ditanamkan bersama Shi Huangdi diketahui dan rahsia menceroboh makam itu terbongkar.

Kajian moden mengatakan bahawa kawasan makam itu seluas lebih 56 kilometer persegi. Makam itu berbentuk piramid. Dasar makam itu sepanjang 350 meter, selebar 345 meter dan setinggi 76 meter. Bahkan turut dijumpai 500 buah makam iringan yang terdiri dari para gundik Shi Huangdi dan juga pembina makam itu.

Malangnya demi menjaga makam itu dan kekurangan teknologi cari gali yang dimimiliki oleh kerajaan China, maka kerajaan China terpaksa menghentikan proses cari gali. Walaupun betapa kejamnya Shi Huangdi mahu membina makam ini, namun kewujudan makam itu adalah lambang keagungan Tamadun China pernah capai suatu masa dahulu.

P.S: Saya pelik, kenapa ada orang Islam di Alam Maya begitu tergamak mendakwa Shi Huangdi yang memeluk kepercayaan Legalisme dan juga sebegitu kejam seperti mana yang didakwa dalam artikel ini sebagai orang Islam? Apa orang Islam sengkek tokoh sangatkah untuk dibanggakan?



Sumber

قالب وردپرس

Nanga Gaat, Kapit Dan “Rumah Panjai Terbang”


BERCERITA mengenai kewujudan lapangan-lapangan terbang kecil di seluruh Sarawak sebenarnya banyak dipengaruhi oleh adanya operasi-operasi di hutan-hutan pedalaman Sarawak sewaktu zaman konfrontasi Indonesia Malaysia suatu waktu dahulu.  Dan di dalam konteks ini mungkin ramai tidak mengetahui tentang cerita sejarah satu tempat yang nun jauh di tengah-tengah hutan belantara Kapit iaitu di Nanga Gaat.

Sekitar tahun 1964 sehingga 1966, Nanga Gaat “Operation Camp” merupakan antara satu tempat yang paling banyak memainkan peranan yang penting di dalam konteks pengangkutan untuk tentera-tentera pelbagai Negara termasuklah anggota tentera di pihak Malaysia sendiri.  Ianya terletak hanya bersebelahan dengan Sungai Gaat dan Batang Baleh iaitu berhampiran dengan Bukit Majau di Kapit.

Di ketika zaman konfrontasi Indonesia/Malaysia boleh dikatakan masyarakat tempatan yang mendiami sekitar Nanga Gaat sudah biasa melihat “rumah panjai terbang” iaitu satu gelaran yang digunakan untuk sejumlah helikopter yang bersimpang siur di ruang angkasa mereka.  Jika diikutkan di Nanga Gaat ini walaupun “operation base” yang terletak jauh di pedalaman tetapi disinilah berhimpun beberapa helikopter jenis Wessex 1s, 5s, Whirlwind 7 dan Hiller serta Bristol Belvedees. Dan disebalik kehadiran “rumah panjai terbang” ini sebenarnya turut menyimpan 1001 peristiwa hitam gugurnya anggota keselamatan kita dan tentera komanwel sewaktu bertugas.

Tanggal 17 November 1964 merupakan tragedi pertama yang menimpa tentera Komanwel yang bertugas di Nanga Gaat.  Pada hari itu seorang pegawai tentera dari HMS Bulwark iaitu Acting-Petty Officer Michael John Parry telah mati lemas apabila bot panjang yang beliau naiki selepas pulang dari lawatan sebuah rumah panjang telah karam.  Michael John Parry tidak mampu diselamatkan biarpun seorang pemuda Iban yang menjadi jurubotnya mampu berenang ke tepian.  Mendiang dikebumikan di St. John’s Anglican Cemetery di Sibu sehari selepas kejadian dan seterusnya dipindahkan perkuburunnya di Jalan Cheras, CWGC Cemetery, Kuala Lumpur.

Pada 4 Mac 1965 pula, Nanga Gaat masih tidak terlepas daripada tragedi penerbangannya apabila helikopter jenis Wessex 1 XP108 yang dipandu oleh Leftenan M R Thompson dari RN telah mengalami kegagalan enjin sehingga menyebabkan helikopter tersebut terhempas di kawasan Ulu Sungai Puro.  Dikatakan mereka baru sahaja selang beberapa minit berlepas dari Nanga Gaat bagi menghantar sejumlah tentera untuk operasi ketenteraan.  Di dalam tragedi di Ulu Sungai Paro ini, juruterbang iaitu Leftenan M R Thompson, aircrewnya iaitu REA A J Williams berserta dengan enam anggota tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja terkorban serta merta sejurus selepas helikopter itu terhempas.

Tidak lama kemudian iaitu pada 9 April 1965, helikopter jenis Hiller 12E XS164 pula terhempas sejurus selepas berlepas daripada Nanga Gaat.  Pada ketika itu, juruterbangnya J A C Morgan dari RN telah menemui ajal apabila helikopter yang dipandunya dikatakan tidak boleh dikawal lalu terhempas.  Menurut sumber dikatakan bahawa beberapa hari sebelum kejadian, sememangnya helikopter tersebut sudah diketahui mempunyai beberapa kerosakan pada bahagian rotor ekor tetapi memandangkan lokasi Nanga Gaat yang jauh maka adalah sukar untuk mendapatkan alat ganti seberapa segera.

Namun atas bebanan tugas, dikatakan Leftenan Morgan membaiki sendiri kerosakan itu berdasarkan kepada kefahaman beliau namun mungkin ianya tidak seperti yang seharusnya maka berlakulah tragedi yang meragut nyawanya pada 9 April 1965 itu.

Selang beberapa hari selepas menerima tragedi helikopter terhempas sehingga mengorbankan juruterbangnya sendiri, tanggal 12 April 1965 pula merupakan satu peristiwa hitam yang betul-betul berlaku di Nanga Gaat “Operation Camp”.  Ini kerana pada hari itu dua buah helikopter jenis Wessex 1s yang dipandu oleh Leftenan R Robertson dan Sub Leftenan J C Hapgood, kedua-duanya dari RN telah bertembung sama sendiri sewaktu hendak mendarat.

Diceritakan pada ketika itu, mereka baru sahaja usai dari satu operasi ketenteraan dan membawa sejumlah tentera di dalam helikopter masing-masing.  Akibat daripada pertembungan itu menyebabkan mereka terhempas betul-betul di tepi Sungai Gaat.  Dan pada tanggal hari itu menyaksikan empat anggota tentera Komanwel iaitu dua juruterbang, Leftenan R Robertson dan Sub Leftenan J C Hapgood menemui ajalnya.  Selain daripada itu Lans Koperal W.J Jack dari Royal Army Medical Corps, NAM A. Rothwell dari RN, 2nd Leftenan C J Johnson, Sarjan P McNeilly, Lans Koperal W H Murray dan Prebet R G Green dari 2nd Batallion, Regimen Paracut turut tidak dapat melepaskan diri dan terbakar bersama-sama helikopter ketika terhempas.

Di dalam tragedi ini hanya tiga orang yang terselamat yang mana ketiga-tiga mereka berjaya menyelamatkan diri ketika helikopter sedang berpusing-pusing hendak terhempas dengan mereka bertindak berani dengan terjun bebas terus ke dalam Sungai Gaat pada ketika itu.  Biarpun mengalami kecederaan dan luka-luka namun nasib mereka begitu baik berbanding rakan-rakan seperjuangan mereka yang lain.

Inilah antara cerita hitam yang pernah berlaku nun jauh di hutan belantara Kapit iaitu di Nanga Gaat yang sudah semestinya tidak diketahui oleh kita semua tentang sejarahnya.  Malah mungkin kewujudan pernah ada satu “operation base” di Nanga Gaat ini tidak dunia ketahui.  Namun bagi masyarakat tempatan di Nanga Gaat sudah semesti arif tentang sejarahnya.

Bagi mengenang tragedi-tragedi yang berlaku ini telah dibina Tugu Peringatan Nanga Gaat di Nanga Gaat. Jasa mereka sentiasa dikenang oleh penduduk setempat dan anggota-anggota pelbagai negara Komanwel yang pernah bertugas di Nanga Gaat “Operation Camp”.

Lest We Forget.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. Borneo Post, 6 Mei 2015 by James Ling – Britons Return To Kapit To Remember Fallen Ones

http://www.theborneopost.com/2015/05/06/britons-return-to-kapit-to-remember-fallen-ones/

  1. Nanga Gaat

http://albiefield.co.uk/Sarawak/nangagaat/nangagaat.html

 



Sumber

قالب وردپرس