Gaya Hidup, Hiburan

Ketabahan Seorang Insan Yang Bergelar Ibu


Tanggungjawab seorang insan yang bergelar ibu dalam membesarkan anak-anak tanpa suami di sisi amat memenatkan. Namun,ketabahan yang ada dalam diri mereka tidak boleh dipertikaikan lagi. Kisah ini telah dikongsi oleh puan Fini Zaini ini pasti membuatkan anda terutamanya anak-anak akan lebih menghargai kedua ibu bapa anda.

Sudah beberapa bulan saya tidak menjadi pemandu GRAB. Tuntutan tanggungjawap yang lain membuatkan saya terpaksa “hold” dahulu kerja “parttime” ini. Namun baru-baru ini ketika saya memulakan tugas, saya menerima request dari seorang penumpang yang ingin ke KLIA.
Saya terus menuju ke lokasi penumpang itu menunggu. Ketika saya tiba, saya terlihat seorang wanita yang saya kira dalam lewat 50 tahun berdiri dengan sebuah luggage. Apabila saya memberhentikan kereta, terus saya membantu beliau menyimpan luggage tersebut kedalam kereta.
Saya meneruskan perjalanan. Suasana agak sepi seketika. Sehinggalah saya memberanikan diri bertanya beliau.

“Puan seorang aje? Nak bercuti kemana?”

“Ohhh.. saya pergi dengan kawan-kawan. Masing-masing jumpa di airport. Kami buat trip tour Europe. Geng orang-orang pencen”, balas beliau.

Saya hanya menganggukkan sahaja jawapan beliau. Sepanjang perjalanan beliau rancak bersembang. Dalam hati, puan ini mesti mempunyai kerjaya yang hebat kerana terlalu banyak isu yang beliau ketengahkan sehinggalah ada satu perkara yang membuat saya terasa sebak…

Kisahnya begini…

Suami pergi meninggalkan saya kira-kira 8 tahun yang lepas. Masa tu kami masih belum bersara. Ada lebih kurang beberapa tahun lagi untuk bersara. Impian kami berdua, seandainya sudah bersara kami bercadang untuk mengelilingi dunia menghabiskan sisa hari tua ketika masih Allah kurniakan badan yang sihat. Tapi kita hanya merancang, namun perancangan Allah lebih baik lagi. Suami pergi dahulu meninggalkan saya dan anak-anak.

Dipenghujung usia ini, apa yang saya akui bahawa saat membesarkan anak-anak itu sangat singkat. Jika dahulu saya dan arwah suami bertungkus lumus mencari rezeki, bersusah payah membesarkan anak-anak. Rumah walaupun ketika itu hanya mampu membeli rumah yang bersaiz kecil namun dipenuhi dengan gelak tawa, tangis, jeritan, gaduh, lucu, gurau senda dan macam-macam lagi. Buku, pensel, baju berterabur di lantai bilik. Bedak, sikat entah ke penjuru mana. Kain selimut, bantal berteraburan dibawah katil atau meja.
Boleh dikatakan hari-hari saya akan menjerit menyuruh diam, kemas buku-buku dan masukkan pakaian kotor ke dalam bakul kain kotor. Penat. Yer.. Memang memenatkan.
Dan apabila waktu pagi, terkocoh-kocoh menyiapkan sarapan, kelengkapan anak kecil ke taska, yang besar pula bertanya, “mak.. pensil tak ade”. Seorang lagi menjerit, “mak.. sikat, bedak mana?” dan seorang lagi menjerit anak tudung dan stokin hilang! Dalam pada saya membebel itu dan ini, tetap juga mencari dan menyediakan apa yang anak-anak pintakan.

Masa berlalu sangat pantas. Anak-anak yang kecil kini semuanya sudah meningkat dewasa. Malah ada yang sudah merantau meninggalkan kami. Apabila saya buka pintu bilik anak-anak yang ada hanyalah katil yang kosong. Buka almari baju. Yang tinggal beberapa helai baju.

Apa yang tinggal hanyalah kesan kenangan dan bau anak-anak pada bantal, tilam dan persekitaran. Yer! Setiap anak itu mempunyai bau “istimewa” hanya seorang emak sahaja yang tau. Saya akan hidu udara bilik itu sedalam-dalamnya untuk menghilangkan rindu pada anak-anak. Memori gelak tawa tangis anak-anak dan kehangatan badan anak-anak bila dipeluk.

Kini rumah saya bersih. Kemas. Teratur. Tapi saya rasakan ia bukan sesuatu yang indah kerana buka dan tutup pintu pun sendirian. Kalau dulu sayalah yang sentiasa jerit menyuruh anak-anak menutup pintu dan tingkap. Anak-anak saya sudah mempunyai kehidupan sendiri. Saya juga kini sendiri kerana teman yang saya harapkan menjadi teman telah pergi dahulu meninggalkan saya. Walau apa pun saya sentiasa mendoakan agar anak-anak sentiasa dalam peliharaan Allah.

Sepanjang beliau bercerita saya lihat dari cermin pandang belakang, beliau bercerita dengan tenang dan penuh senyuman. Tidak mampu saya berkata apa-apa hanya anggukkan sahaja. Kerana setiap bait-bait ayatnya sangat meruntum jiwa. Membuat saya sedar bahawa betapa banyaknya diri ini merungut-rungut dengan situasi ketika bersusah payah membesarkan anak-anak.

Apa yang boleh saya simpulkan dari cerita beliau bahawa nikmatilah waktu yang sedang kita lalui kini dengan berlapang dada tanpa rungutan dan keluahan terutama ketika berpenat lelah membesarkan anak-anak. Kerana suatu hari nanti ianya akan menjadi sejarah dan membuatkan kita rindu tatkala bersendirian meniti usia tua.

Kepada anak-anak yang masih mempunyai emak & ayah jangan lupa! Sentiasa hubungi mereka. Dan paling utama sentiasa mendoakan kesejahteraan untuk mereka. Mungkin kita tidak ditakdirkan menjadi anak yang berpeluang menjaga mereka dipenghujung usia tapi jadilah anak-anak yang menyejuk dimata, penawar dijiwa buat mereka.
Saya doakan yang terbaik buat semua. Hidup dalam positif penuh keceriaan. Bergembiralahhhh 

Note:
Petang ni mama belanja anak-anak makan aiskrim walaupun dalam kereta u olls berjerit bergaduh bertumbuk. Mama is ok. Mama tak jerit-jerit lagi ok!



Sumber

قالب وردپرس

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.